Ini 7 Motosikal Berkuasa (Terpakai) Bawah RM30k Masih Berbaloi Dibeli Hari Ini

Tidak dinafikan pasaran motosikal berkuasa tinggi semakin meningkat naik di Malaysia namun realitinya rata-rata model baharu datang dengan tanda harga yang tinggi.

Namun, itu tidak bermakna harapan untuk memiliki jentera berkuasa tinggi harus terkubur. 

Bagi yang merancang untuk memiliki sebuah motosikal berkuasa pada harga yang tidak terlalu membakar poket, kami senaraikan tujuh (7) motosikal terpakai bawah RM30,000 yang masiih berbaloi untuk dibeli hingga ke hari ini. 

1. Kawasaki Z800 – (RM25,000 hingga RM28,000)

Walaupun sudah berusia 10 tahun – diperkenalkan pada 2012 – Z800 masih lagi popular dikalangan peminat jentera berkuasa tinggi. 

Manakan tidak, enjin 806cc 4-silinder itu berupaya menghasilkan 113hp dan 83Nm dan mampu merekodkan kelajuan lebih 262km/j (atas kertas). 

Ketika diperkenalkan pada 2013, Z800 dijual pada harga sekitar RM47,000 namun kini model terpakai boleh didapati pada harga sekitar RM25,000 hingga RM28,000 sahaja. 

2. Yamaha MT-09 V1 – (RM27,000 hingga RM29,000)

Yamaha MT-09 (V1) merupakan antara motosikal yang masih lagi popular sehingga hari ini. 

Walaupun MT-09 sudah memasuki generasi ketiga dengan enjin yang lebih besar dan berkuasa namun model V1 (keluaran 2014) masih tampak cantik dan relevan.

Pada masa sama dengan 114.9hp dan 88Nm, model ini masih sangat pantas dan berkuasa. 

3. Honda CBR650F/CB650F 2014 – (sekitar RM26,000)

Honda CBR650F dan CB650F juga antara model yang cukup popular sewaktu diperkenalkan sekitar 2014.

Enjin empat silinder 649cc itu masih lagi menjadi daya penarik utama. 

Ketika dilancarkan pada 2014, kedua-dua model ini datang dengan harga sekitar RM46 ribu namun kini sudah boleh dimiliki pada harga jualan (terpakai) sekitar RM26,000 sahaja. 

4. Yamaha XJ6 – (RM16,000 hingga RM27,500)

Tahun 2014 sememangnya didominasi jentera empat silinder apabila Yamaha turut memperkenalkan XJ6 dan XJ6 Diversion. 

Tampil sebagai lawan kepada CBR650F dan CB650F, Yamaha XJ6/XJ6 Diversion ini menawarkan 77hp dan 59.7Nm. 

Kuasa yang tidak terlalu tinggi itu menjadikan XJ6 model yang cukup sesuai bagi mereka yang mahu menjinakkan diri dengan motosikal berkuasa tinggi. 

Tinjaun di Mudah.my mendapati model ini dijual pada harga antara RM16,000 hingga RM27,500 (bergantung pada tahun keluaran). 

5. Aprilia Shiver 750 (RM14,000 hingga RM20,000)

Aprilia mungkin sudah menghentikan keluaran Shiver 750 namun tidak dinafikan jentera naked ini merupakan motosikal Itali yang paling mampu milik ketika ini. 

Digerakkan enjin V-Twin 750cc yang menjana 94hp dan 81Nm, Aprilia Shiver 750 merupakan motosikal yang cukup ikonik terutamanya di Malaysia kerana pernah ditawarkan secara CKD oleh NAZA. 

Sebagai pengguna Shiver 750 keluaran 2016, motosikal ini sememangnya menawarkan pengalaman menunggang yang mengujakan meskipun agak berat, sekitar 220kg (berat basah). 

6. Kawasaki Ninja ZX6R 2008 (sekitar RM27,000)

Bagi yang mahukan jentera berkuasa tinggi yang mampu berikan prestasi terbaik terutamanya di litar, Kawasaki ZX6R (2008) ini wajar dipertimbangkan.

Walaupun agak berusia namun model ini masih mampu mengejar sebahagian besar jentera 600cc generasi baharu di litar lumba dengan bantuan 125hp dan 66Nm. 

Atas kertas, jentera ikonik ini mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 265km/j. 

Tinjauan di Mudah.my mendapati model ini sudah boleh didapati pada harga sekitar RM27,000 sahaja.l 

7. Honda VFR800 2007 – (sekitar RM25,000)

Jika mahukan sesuatu yang unik, Honda VFR800 wajar dipertimbangkan. 

Meskipun dah berusia 15 tahun namun konfigurasi enjin V4 782cc tersebut mampu menghasilkan 108hp dan 75.1Nm.

Sebagai sebuah jentera ‘sports tourer’, VFR800 ini bukan sahaja berkuasa malah praktikal untuk tunggangan jarak jauh.

Menariknya, model ini sudah boleh didapati pada harga sekitar RM25,000 sahaja. 

Demikian antara motosikal berkuasa tinggi (terpakai) yang dijual pada harga bawah RM30,000 yang wajib dipertimbangkan bagi yang mencari jentera berkuasa pada harga mampu milik.

Walaupun terdapat banyak model baharu ditawarkan ketika ini namun penting untuk mengambil kira faktor kewangan agar tidak menyusahkan di kemudian hari apatah lagi dengan krisis ekonomi yang bakal melanda pada 2023.

Selain daripada yang kami senaraikan di atas, apakah model lain (bawah RM30k) yang wajar dipertimbangkan? 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply