MIE Racing Honda Team mengesahkan Hafizh Syahrin sebagai pelumba pasukan itu bagi musim 2023 di Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK).
Keputusan mengekalkan Hafizh bagi musim baharu itu adalah satu perkembangan yang baik bagi pelumba berusia 28 tahun itu.
Ini bermakna Hafizh akan digandingkan dengan pelumba Brazil, Eric Granado musim depan.
Sementara itu, pemilik pasukan, Midori Moriwaki, menyifatkan prestasi konsisten ditonjolkan Hafizh dalam musim pertamanya bersama pasukan itu cukup memberangsangkan.
“Kami sangat teruja untuk menyambung kontrak Hafizh yang telah membuat penampilan sulung di WorldSBK dan mempamerkan peningkatan sepanjang musim.
“Saya percaya dia dan Eric (Granado) akan mewujudkan satu gandingan yang baik adn membantu kami dalam pembangunan projek bersama Honda di samping mempromosikan WorldSBK di Amerika Selatan dan Asia,” jelasnya.
Pada masa sama, Hafizh berkongsi rasa gembira dengan kepercayaan yang diberikan MIE Racing.
“Saya sangat gembira kerana dapat kekal bersama pasukan ini musim depan.
“Saya tahu Midori (Moriwaki) sedang membentuk satu pakej yang lebih kuat bagi musim 2023. Jadi saya akan memberikan segalanya musim depan.
“Sasaran utama saya adalah menjadi lebih kompetitif dan mengutip mata dalam setiap perlumbaan,” ujar Hafizh.
Saingan WorldSBK akan kembali buka tirai di Australia pada 24 Februari depan.