Memahami permintaan terhadap skuter gaya retro klasik semakin meningkat, Benelli dengan rasminya melancarkan Benelli Panarea 125 untuk pasaran tempatan dengan harga jualan asas RM6,888.
![](https://motomalaya.net/blog/wp-content/uploads/2022/12/benelli-panarea-125-12.jpg)
Meskipun rupa klasik, namun Panarea 125 ini tampil dengan ciri moden antaranya lampu LED penuh depan dan belakang serta panel meter analog dan digital.
![](https://motomalaya.net/blog/wp-content/uploads/2022/12/benelli-panarea-125-6.jpg)
Menariknya, Panarea 125 ini juga lengkap dengan sistem anti-kecurian yang boleh mengurangkan risiko dicuri. Bagaimanapun, kami tidak risau kerana Benelli bukanlah jenama yang sering terpalit dengan kes kecurian motosikal di Malaysia.
![](https://motomalaya.net/blog/wp-content/uploads/2022/12/benelli-panarea-125-16.jpg)
Untuk rekod, Benelli Panarea 125 dikuasakan enjin 124cc 4-stroke dengan suntikan bahan api yang berupaya menghasilkan 8.44hp pada 7,500rpm dan 9.2Nm pada 6,000rpm.
Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang dengan transmisi automatik CVT.
![](https://motomalaya.net/blog/wp-content/uploads/2022/12/benelli-panarea-125-21.jpg)
Tangki berkapasiti 4.6L pula memastikan skuter retro ini menawarkan penggunaan bahan api yang efisien untuk kegunaan harian.
Antara ciri lain ditawarkan termasuk:
- fork depan teleskopik
- penyerap hentakan tunggal belakang
- lampu LED
- cakera brek 190mm depan
- tayar 100/90-12 depan
- tayar 110/90-12 belakang
Setiap pembelian Benelli Panarea 125 didatangkan dengan waranti pengeluar dua tahun atau 20,000km (mana yang sampai dahulu).