EICMA 2022: Fantic Caballero 700 – 75HP, 68Nm

Advertisements

Umum sedia maklum bahawa jenama motosikal Itali, Fantic Motor akan turut dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi. 

Fantic turut membuat penampilan sulung di Malaysia baru-baru ini apabila menyertai Rimba Raid 2022 dengan jentera Fantic Caballero Rally 500. 

Bagaimanapun, tahun 2023 menyaksikan Fantic bakal menawarkan Caballero dengan kapasiti enjin yang lebih besar apabila mendedahkan Caballero 700 di pameran motosikal EICMA yang sedang berlangsung di Milan. 

Menurut Fantic dalam satu kenyataan merujuk Caballero 700 sebagai sebuah motosikal ‘scrambler’ yang tulen dan berprestasi tinggi. 

Dikuasakan enjin silinder berkembar 689cc dengan penyejukan cecair dan sistem ‘twin-shaft timing’, Caballero 700 ini menawarkan 75hp dan 68Nm.

Menariknya, model ini turut dilengkapi ciri moden termasuk skrin TFT 3.5-inci berbentuk bulat yang boleh disambung kepada telefon pintar menerusi Bluetooth. 

Ciri elektronik lain ditawarkan termasuk tiga mod menunggang; Road, Off-Road dan Custom, serta lampu LED penuh. 

Aspek keselamatan pada Caballero 700 ini juga cukup baik dengan kehadiran ‘traction control’ dan ‘cornering ABS”. 

Untuk rekod, Fantic Caballero 700 ini dibangunkan dengan kerangka jenis ‘single steel backbone’ dan dipadankan bersama ‘swingarm’ aluminium. 

Tidak cukup dengan itu, model ini turut mendapat kelengkapan premium lain termasuk sistem suspensi dari Marzocchi yang terdiri daripada fork depan VRM 45mm. 

Sebagai sebuah motosikal ‘scrambler; Caballero 700 ini turut dilengkapi dengan rim 19” depan dan 17” belakang dengan brek pula dikendalikan kaliper radial Brembo yang dipadankan bersama cakera brek 330mm depan dan 245mm belakang. 

Dengan hanya seberat 180kg tidak dinafikan Caballero 700 ini pastinya menjadi pilihan bagi yang meminati aktiviti lasak dan ‘off-road’. 

Meskipun begitu, Fantic Caballero 700 ini juga sesuai untuk tunggangan harian bertemankan tangki 14L. 

Menurut pihak Fantic, Caballero 700 ini akan mula dipasarkan di pasaran global bermula April 2023. 

Advertisements