TERKINI: Suzuki Henti Jual GSX-R1000 Di Jepun Dan Eropah

Hari yang menyedihkan bagi peminat motosikal Suzuki GSX-R1000 akhirnya tiba apabila pengeluar motosikal Jepun itu membuat keputusan untuk menghentikan penjualan ‘superbike’ ikonik itu di Jepun dan Eropah.

Penamatan penjualan model itu selaras dengan keputusan mengejut Suzuki untuk menghentikan segala projek permotoran termasuk di MotoGP dan EWC dalam usaha untuk memberi fokus pada sektor lain. 

Bagaimanapun, motosikal terbabit akan terus dipasarkan di beberapa pasaran kecil lain sebelum dihentikan sepenuhnya. 

Punca utama pemberhentian GSX-R1000 adalah disebabkan faktor standard emisi ketat yang dikuatkuasakan di Jepun. 

Ekoran daripada itu, Suzuki berpendapat adalah lebih baik untuk tidak meneruskan pembangunan GSX-R1000 apatah lagi syarikat Jepun itu tidak lagi terlibat dalam MotoGP dan EWC yang sering menjadi medan ujian pembangunan enjin model terbabit. 

Pada masa sama, GSX-S1000, GSX-S1000GT, Katana, Hayabusa dan V-Strom 1050 masing-masing telah dikemas kini untuk mencapai standard emisi baharu dan akan terus dijual di pasaran global. 

Meskipun masa depan Suzuki GSX-R1000 tampak gelap namun majalah penerbitan Jepun, Young-Machine berpendapat sebaliknya. 

Ini kerana dalam satu laporan pada bulan Ogos lalu, Suzuki didakwa telah membangunkan enjin GSX-R1000 baharu yang bukan sahaja mencapai standard emisi malah turut dinaik taraf secara besar-besaran termasuk ciri ‘reverse-rotating crankshaft’ yang diguna pakai pada jentera GSX-RR di MotoGP. 

Apa yang pasti, Suzuki GSX-R1000 sedia ada amat memerlukan peningkatan agal terus kekal relevan dengan standard terkini dan sehingga hari itu tiba, msa depan jentera ‘superbike’ ikonik itu akan kekal malap. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]