Luka Lama Berdarah Kembali, Rossi Kecam Marquez Atas Insiden 2015 Di Malaysia

Advertisements

Kejuaraan dunia MotoGP musim 2022 akhirnya menutup tirai dengan Francesco Bagnaia muncul juara dunia buat kali pertama dalam kariernya.

Meskipun gagal menaiki podium di Valencia namun kiraan mata membolehkan Bagnaia mengatasi pencabar terdekat, Fabio Quartararo untuk menghadiahkan kejuaraan pertama Ducati selepas kali terakhir dilakukan Casey Stoner pada 2007.

Bagaimanapun, ketika litar Ricardo Tormo meriah dengan sambutan kejuaraan Bagnaia, lain pula ceritanya di belakang tabir melibatkan sembilan kali juara dunia, Valentino Rossi, apabila membidas lapan kali juara dunia, Marc Marquez susulan insiden melibatkan kedua-dua pelumba sewaktu musim 2015 di GP Malaysia.

Ini kerana Marquez dalam satu kenyataan kepada AS baru-baru menyifatkan Rossi hilang sabar jadi punca kepada kejadian di Malaysia.

Tidak berpuas hati dengan kenyataan itu, Rossi menyelar Marquez dalam satu temu ramah dengan La Gazzeta dello Sport sewaktu di Valencia.

“Sudah menjadi kebiasaan dia akan bercakap mengikut pandangan dia tetapi semua tahu apa yang berlaku pada 2015, semua orang faham.

“Jadi bagi saya, setiap kali dia (Marquez) bercakap tentang hal ini, dia lagi nampak di pihak yang salah,” ujar Rossi. 

Rossi dan Marquez merupakan seteru utama sejak kejadian itu dan hubungan kedua-duanya kekal tegang sehingga ke hari ini.

Tahun 2015 merupakan peluang Rossi untuk muncul juara dunia buat kali ke-10 dalam kariernya namun tewas kepada rakan sepasukan Yamaha, Jorge Lorenzo. 

Sewaktu di Malaysia (2015), Rossi dan Marquez berlanggar antara satu sama lain lalu menyebabkan pelumba Sepanyol itu kemalangan. Susulan daripada itu, Rossi dikenakan penalti dan terpaksa bermula di petak terakhir di Valencia. 

Senario itu menyebabkan Rossi hilang peluang untuk merekodkan kejuaraan dunia ke-10 dalam kariernya. 

Ekoran daripada kejadian itu, Rossi beberapa kali mendakwa Marquez sengaja membantu Lorenzo meskipun pelumba Repsol Honda itu menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.