Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia, dinobat juara dunia Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2022 setelah memastikan kutipan mata penting di Litar Ricardo Tormo, Valencia, pada Ahad.
Bagnaia hanya perlu menamatkan saingan di kedudukan 14 terbaik untuk mengesahkan kejuaraan dunia di hadapan pencabar terdekat Fabio Quartararo.
Pusingan akhir di Valencia menyaksikan pelumba Suzuki, Alex Rins menghadiahkan kemenangan terakhir kepada pasukan selepas mempamerkan aksi mantap sebaik perlumbaan dimulakan.
Sementara itu, tempat kedua jadi milik wakil KTM, Brad Binder, yang mempamerkan aksi paling cemerlang di Valencia, mengejar daripada belakang untuk menaiki podium.
Pelumba Pramac Racing, Jorge Martin, melengkapkan podium di tempat ketiga meskipun bermula di petak pertama.
Bagaimanapun, tumpuan terarah kepada Bagnaia yang menghadiahkan kejuaraan dunia kali pertama sejak Casey Stoner pada 2007 kepada pasukan Ducati.
Senario itu sekaligus memadam harapan Quartararo untuk mempertahankan kejuaraan dunia yang dimenanginya musim lalu.
Pada masa sama, Bagnaia juga muncul pelumba kelahiran Itali pertama sejak Valentino Rossi pada 2009 untuk muncul juara dunia MotoGP.
Lebih menarik, kejayaan Bagnaia hanya bermula di pertengahan musim apabila merekodkan kemenangan berturut-turut di Assen, Silverstone, Red Bull Ring dan Misano ditambah dengan kemenangan di Jerez, Mugello dan seterusnya di Malaysia.