Yamaha XMAX 250 2023 Lancar Di Indonesia – Skrin TFT, RM19.9k

Advertisements

Seminggu selepas pelancaran global Yamaha XMAX Tech Max di pasaran Eropah, PT Yamaha Indonesia telah pun melancarkan skuter maxi itu untuk pasaran Indonesia pada hari pembukaan Indonesia Motor Show (IMOS) 2022, pada Rabu.

Tampil dengan spesifikasi sama dengan model Eropah – kecuali sesaran enjin yang kekal 250cc di Indonesia – Yamaha XMAX 250 2023 (dikenali sebagai XMAX 250 Connected di Indonesia)  itu turut dinaik taraf dengan paparan skrin TFT 4.2-inci yang menawarkan fungsi navigasi Garmin selain boleh dihubungkan dengan peranti pintar.

Yamaha XMAX 250 2023 itu juga tampil dengan panel depan baharu yang diketengahkan dengan susunan lampu dan hidung depan berbentuk ‘X’. Bentuk ‘X’ itu juga ditayangkan ketika lampu belakang dinyalakan.

Yamaha turut mengemas kini panel sisi agar melindungi penunggang dengan lebih baik di jalan raya manakala penghadang angin kini boleh diselaraskan. Yamaha XMAX baharu ini juga dilengkapi dengan pencahayaan LED sepenuhnya termasuk di bahagian lampu isyarat.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk sistem Smart Key (penghidup tanpa kunci) dan sistem Answer Back yang membantu memudahkan pencarian motosikal.

Bagaimanapun, menurut laporan rakan media di Indonesia, Iwanbanaran, hanya satu varian sahaja ditawarkan di negara itu dan tidak termasuk varian XMAX Tech Max seperti yang dijual di Eropah. 

Varian Tech Max datang dengan ciri tambahan seperti ‘heated grip’, ‘heated seat’ dan panel letak kaki aluminium.

Sementara itu, Yamaha XMAX 250 2023 ini masih lagi dikuasakan enjin 250cc Blue Core yang menawarkan 22.5hp dan 24.3Nm. 

Yamaha XMAX 250 2023 ini tampil dengan empat pilihan warna di Indonesia; Dark Petrol, Luxury Red, Premium Black dan Prestige Grey dan dijual pada harga IDR66 juta (RM19.9k). 

Untuk rekod, Yamaha XMAX 250 (2022) yang dipasarkan di Malaysia ketika ini dijual pada harga RM22,298. Kami jangkakan akan berlaku kenaikan harga ekoran daripada fungsi yang dinaik taraf pada model 2023 ini.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.