Gara-gara menjadi tapak kegemaran aktiviti sukan lasak 4X4, masyarakat orang asli suku Temiar di perkampungan Pos Balar, Pos Tohoi dan Pos Gob kini berdepan kesukaran untuk keluar masuk kampung mereka.
Ekoran musim tengkujuh yang semakin hampir dan boleh menambah kepada kerosakan sedia ada, masyarat orang asi di kawasan terbabit merayu agar segala aktiviti sukan lasak terutamanya 4X4 dihentikan.
“Jalan kami kini bermasalah akibat rosak teruk, jika orang kampung saja yang menggunakannya, ia tidak jadi (rosak) seperti ini.
“Apabila mereka (4WD) masuk untuk main (aktiviti sukan lasak) kami orang kampung yang terseksa,” Radi Uda, 51 memberitahu Berita Harian.
Jelasnya lagi, penduduk kampung memerlukan masa hampir 12 jam hanya untuk ke bandar Gua Musang.
Bukan itu sahaja, Radi mendedahkan dia terpaksa menempuh perjalanan 3 jam hanya untuk mendaki laluan berbukit yang jaraknya hanya 100 meter ekoran permukaan tanah yang rosak teruk disebabkan kenderaan 4X4.
“Orang luar jangan bersikap pentingkan diri, mereka seronok bermain kereta seperti itu sedangkan kami di sini berdepan risiko terutama jika berlaku situasi kecemasan,” keluh Osman Anjang, 46, dari Pos Balar.
Bagi menangani masalah tersebut, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu telah pun menutup laluan tersebut bagi proses baik pulih dan pembinaan jambatan dari simpang Pos Simpor hingga ke Pos Gob. – Berita Harian