5 Sebab Tak Akan Rasa Menyesal Beli Honda HR-V ‘V-Spec’

Umum sedia maklum Honda Malaysia menawarkan empat varian bagi generasi terbaru, Honda HR-V.

Empat varian tersebut babitkan S (Standard), E, V dan RS (flagship). 

Tapi kami bukan nak cerita tentang kesemua varian, sebaliknya setelah sertai Media Drive Honda HR-V yang dianjurkan Honda Malaysia baru-baru ini, kami nak kongsi kenapa kami rasa Honda HR-V ‘V-Spec’ memang dah cukup ngam untuk dijadikan kenderaan pilihan.

Sebagai media yang ‘jarang’ uji kereta, kami sendiri teruja dengan kemampuan Honda HR-V ‘V-spec’ tersebut.

1. Reka bentuk

Ada yang kata reka bentuk HR-V baru ini tampak moden, kami pun setuju lebih lagi di bahagian belakang yang tampak gah dan ada kelas dengan bentuk lampu yang ala Porsche Macan. 

Lebih menarik, kesemua varian berkongsi reka bentuk yang sama dan hanya dibezakan dengan beberapa ciri kecil. Jadi, walaupun bukan varian ‘flagship’ seperti RS, varian lain terutamanya model V, masih tampak cantik.

2. Enjin

Ini bahagian yang paling menarik tentang HR-V ‘V-spec’, ini kerana model ini didatangkan dengan enjin 1.5L VTEC Turbo yang menawarkan 181PS dan 240Nm. 

Pengalaman memandu dari Kuala Lumpur ke Kuantan sememangnya rancak dan menghiburkan. Manakan tidak, bila terlampau syok memandu, kadang-kala tak sedar meter sudah melebih had laju kebangsaan. 

Cumanya, enjin V-TEC Turbo ini lebih memfokuskan prestasi jadi walaupun bergerak dari Kuala Lumpur dan singgah sebentar di Janda Baik dengan tangki penuh, kami terpaksa isi minyak sebaik melepasi tol Kuantan. 

Jangan tanya berapa kami perah kerana apa yang pasti prestasi enjin 1.5L V-TEC Turbo ini memang syahdu.

3. Ruang dalam

Antara bahagian yang kurang diberi perhatian terutamanya pada kereta jenis SUV kompak segmen-B adalah di bahagian dalam.

Ketika rata-rata model segmen ini datang dengan ruang dalam yang agak sempit namun Honda bijak dalam mereka ruang dalam yang praktikal bagi HR-V generasi terbaru ini.

Tempat duduk kulit bukan sahaja selesa malah tidak meletihkan apabila memandu dalam tempoh lama. 

Secara peribadi, kami rasa tempat duduk belakang yang sebelum ini hanya boleh memuatkan penumpang dengna selesa, kini bertukar menjadi ruang ‘pintar’ untuk pemandu.

Bahagian belakang boleh dilipat mengikut kesesuaian dan mampu memuatkan barangan yang besar dan tinggi. Sekali imbas, tiada masalah untuk memuatkan sebuah skuter Honda Vario 150. 

4. Ciri pintar

Ini antara aspek yang kami perlu beritahu kepada pembaca. 

Di bahagian kiri dan kanan papan pemuka terdapat butang kawalan aliran pendingin hawa yang boleh diselaraskan mengikut kesesuaian. 

Namun, apa yang mencuri perhatian adalah fungsi Air Diffusion System yang boleh diaktifkan dengan memusing tombol sahaja. 

Dengan sistem ini, corong udara berbentuk-L yang unik yang ditempatkan di sudut papan pemuka, boleh digunakan untuk menyebarkan udara ke bahagian sisi dan bumbung kereta, berbanding terus ke muka penumpang.

Ini membuatkan pemanduan lebih selesa dan tidak lagi memandu sambil muka ‘ditembak’ dengan angin sejuk secara terus. 

5. Karakter

Varian V mungkin bukan varian yang tertinggi dalam keluarga generasi ketiga Honda HR-V tetapi kami berasakan model ini mempunyai karakter tersendiri. 

Sebaik hidupkan enjin dan kaki diletakkan di pedal, kami mampu rasa HR-V varian V ini lebih bernyawa. 

Sukar untuk ungkapkan dalam bentuk perkataan tetapi apa yang kami boleh kongsikan, deruman enjin lebih liar dan agresif membuatkan pemanduan lebih mengujakan seolah-olah memandu kereta sedan yang ‘sporty’. 

Sebagai penulis yang berjiwa dua roda, kami tak pandai nak berhujah tentang keseronokan memandu kenderaan empat roda tetapi Honda HR-V (V-spec) 1.5L V-TEC Turbo ini berjaya menimbulkan perasaan memandu yang menyeronokkan. 

Apatah lagi dengan harga RM134,800, kami rasa sesiapa yang membeli varian V ini akan menikmati setiap pemanduan sambil ditemani senyuman yang lebar. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply