Sebelum ini kami pernah melaporkan bahawa Suzuki Malaysia bakal memperkenalkan Suzuki V-Strom 250 SX untuk pasaran Malaysia.
Pendedahan tersebut dibuat ekoran model tersebut telah dilihat menjalani ujian di Malaysia.
Bagaimanapun, perkembangan terbaru mendapati motosikal ‘adventure’ 250cc dari Suzuki itu mungkin bukan varian V-Strom 250 SX seperti dilaporkan sebelum ini. Sebaliknya, model yang akan dilancarkan itu berkemungkinan Suzuki V-Strom 250.
Selain reka bentuk berbeza, perbezaan utama antara V-Strom 250 SX dan V-Strom 250 adalah dibahagian enjin.
Ini kerana V-Strom 250 SX bernadikan enjin satu silinder SOCH manakala V-Strom 250 dijana enjin parallel-twin SOCH.
Suzuki V-Strom 250 juga merupakan model yang pernah diperkenalkan di pasaran United Kingdom pada tahun 2017 manakala V-Strom 250 SX merupakan model serba baharu yang baru dilancarkan April tahun ini.
Sementara itu, sebuah lagi model yang dijangka akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan adalah Suzuki GSX-250R.
Ini berdasarkan beberapa imej dikongsikan pengedar tempatan di Facebook yang hadir bagi latihan produk oleh Suzuki Malaysia.
Perkongsian tersebut jelas menampakkan GSX-250R termasuk lampiran spesifikasi jentera terbabit.
Untuk rekod, Suzuki GSX-250R dikuasakan enjin dua silinder 248cc SOHC dengan penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 24.7hp pada 8,000rpm dan 23.3Nm pada 6,500rpm.
Angka tersebut ternyata meletakkan GSX-250R jauh ketinggalan di belakang Yamaha R25 (35.5hp) dan Honda CBR250RR (41hp).
Meskipun perkembangan ini bakal merancakan pasaran motosikal tempatan namun apa yang pasti, sebarang pengesahan mengenai kedua-dua model ini hanya boleh dibuat pihak Suzuki Malaysia.