Fantic Motor Masuk Malaysia, Pengumuman Rasmi Tidak Lama Lagi

Ketika berlangsungnya GIVI Rimba Raid 2022 di Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang, baru-baru ini, pelbagai jenama motosikal mengambil bahagian antaranya BMW, KTM, Honda dan Yamaha.

Turut membuat penampilan sulung adalah Harley-Davidson Pan America 1250, Moto Morini X-Cape 650 X dan WMOTO SX2 300.

Bagaimanapun, diantara beratus jentera yang terlibat terdapat sebuah jentera yang mencuri perhatian menerusi Fantic Caballero Rally 500. 

*Fantic Caballero 500 Rally

Bagi yang tidak kenal, Fantic Caballero Rally 500 merupakan motosikal jenis scrambler yang dikeluarkan jenama motosikal Itali, Fantic Motor. 

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, penyertaan Fantic Caballero Rally 500 yang ditunggang pelumba Hazim Hayazi itu bukanlah semata-mata untuk tujuan berlumba. 

Sebaliknya,  Rimba Raid 2022 menjadi medan ujian jentera tersebut yang dijangka akan dipasarkan di Malaysia menerusi Fantic Motor Malaysia. 

Kemampuan Fantic Caballero 500 sememangnya mengagumkan apabila Hazim berjaya mendapat tempat ke-4 bagi Class C – DP Rally.

Menurut Hazim, dia berasa kagum dengan kemampuan jentera terbabit meskipun pertama kali menunggangnya.

“Ini adalah kali pertama saya menunggang motosikal ini. Saya terkejut motosikal ini menawarkan kawalan terbaik dan ringan.

“Kuasa dihasilkan juga cukup untuk menawan cabaran Rimba Raid 2022 sejauh 150km di Taman Negara,” jelas Hazim di akaun Facebook miliknya.

Tambah Hazim lagi, dia juga kagum dengan tahap efisien penggunaan bahan api jentera terbabit.

“Saya langsung tak risau tentang minyak kerana motosikal ini datang dengan tangki 12L jadi cukup untuk perlumbaan seperti ini,” tambahnya.

Untuk rekod, Fantic Motor mempunyai model dari 125cc hingga 500cc dengan model Caballero 500 tampil dengan beberapa varian termasuk Explorer, Flat dan Scrambler dan Rally.

Difahamkan, Fantic Motor Malaysia adalah anak syarikat AFY Mobility Industries Sdn Bhd yang turut akan memasarkan dan memasang motosikal jenama MV Agusta di Malaysia. 

Meskipun perkembangan ini cukup menarik, namun segala pengesahan hanya boleh dilakukan pihak berwajib dan kami jangkakan pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply