MotoGP: Nakagami Kekal Setahun Lagi Bersama LCR Honda

Advertisements

Takaaki Nakagami akan terus beraksi di kejuaraan dunia MotoGP musim 2023 setelah menandatatangani kontrak satu tahun bersama HRC.

Meskipun sebelum ini didakwa tempatnya akan digantikan dengan pelumba Moto2, Ai Ogura namun HRC terus beri kepercayaan kepada pelumba berusia 30 tahun itu untuk beraksi bersama LCR Honda IDEMITSU, musim depan. 

Ini bermakna Nakagami akan bersaing bersama-sama LCR Honda untuk tahun keenam mereka bersama. 

Membuat 80 penampilan setakat ini, Nakagami antara pelumba yang kekal konsisten dan enam kali berjaya menempatkan diri dikalangan Kelompok Lima terbaik setakat ini. 

Selain itu, Nakagami juga berjaya merekodkan satu petak pertama di MotoGP dan 14 podium di Moto2 termasuk dua kemenangan. 

“Saya sangat gembira kerana dapat terus berlumba di MotoGP bagi musim 2023 bersama LCR Honda. 

“Saya mahu berterima kasih kepada IDEMITSU dan HRC atas sokongan yang diberikan. Saya akan berikan yang terbaik musim depan dan cuba dapatkan keputusan yang terbaik,” jelasnya.

Saingan MotoGP akan kembali bersambung hujung minggu ini di GP Aragon. 

Advertisements