Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Di Sarawak 86% Siap – Menteri

Fasa pertama projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak kini 86% siap, menurut Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof.

Beliau berkata beberapa bahagian lagi lebuh raya itu dijangka dibuka tahun ini dan tiga lagi bahagian di Sarikei, Bukit Begunan dan Lambir dijangka siap tahun depan.

“Tiga bahagian itu berdepan pelbagai cabaran termasuk tapak yang perlu diteliti semula.

“Malah ada yang memerlukan pemprosesan semula reka bentuk berikutan keadaan muka bumi yang tidak sesuai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sarawak Media Engagement di sini malam tadi.

Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1 bernilai RM16 bilion melibatkan pembinaan jalan sepanjang 786km dari Telok Melano di hujung paling selatan negeri ini, ke Miri di utara.

Sementara itu, Fadillah berkata kementerian kewangan juga sedang memuktamadkan aspek perolehan bagi projek Fasa 2 Jalan Hubungan Sarawak-Sabah (SSLR) dan projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) dan peruntukan siling sebanyak RM12 bilion telah ditetapkan bagi kedua-dua projek itu.

“Kami juga berharap dapat memuktamadkan pemberian kontrak kepada kontraktor pada tahun ini dan awal tahun depan projek ini akan dapat dimulakan,” katanya.

Pada 7 Ogos, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan persekutuan telah meluluskan Projek SSLR Fasa 2 dan projek LTB, dan pembinaan akan dimulakan seawal tahun depan.

Ismail berkata penyelidikan teknikal bagi projek SSLR dan LTB Fasa 2 yang menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas kini di peringkat akhir, dengan pembinaan dijangka mengambil masa tiga hingga lima tahun.

Tambahnya, projek itu bukan sahaja membolehkan penduduk utara Sarawak sampai ke Sabah melalui dua pilihan rangkaian jalan raya tetapi juga memberi manfaat kepada penduduk di Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada jalan balak untuk berulang-alik. – Free Malaysia Today

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply