Aprilia Lancar RSV4 XTrenta – Hanya 100 Unit, 230HP, 165kg

Tahun 2022 menjadi tahun penting buat Aprilia apabila meraikan ulang tahun ke-30 kejayaan merangkul kejuaran dunia Grand Prix sulung. 

Menariknya, tahun ini juga menyaksikan Aprilia melakar pencapaian penting di pentas MotoGP, dengan Aleix Espargaro memenangi GP Argentina manakal rakan sepasukan Maverick Vinales telah pun merekodkan podium keduanya di GP San Marino, pada Ahad.

Sehubungan itu, Aprilia memperkenalkan RSV4 XTrenta bagi meraikan pencapaian pengeluar motosikal Itali itu.

Berasaskan jentera superbike Aprilia RSV4, jentera RSV4 XTrenta ini merupakan mesin khas dibina untuk litar perlumbaan (track-only). 

Menariknya, RSV4 XTrenta ini disuntik dengan pelbagai ciri sama yang terdapat pada jentera MotoGP Aprilia, RS-GP 22 yang ditunggang Espargaro dan Vinales.

Pertamanya, RSV4 XTrenta ini dibangunkan dengan proses PAN Compositi yang sama diguna pakai pasukan MotoGP. 

Hasilnya, Aprilia RSV4 XTrenta ini menawarkan pakej aerodinamik dan winglet seperti yang terdapat pada RS-GP.

Bukan itu sahaja, RSV4 XTrenta turut tampil dengan ciri ‘under-wing’ atau ‘The Spoon’ yang dipasang pada bahagian bawah swingarm dan dihadapan tayar belakang.

‘The Spoon’ tersebut berfungsi mengawal keadaan suhu tayar belakang bagi memastikan cengkaman berada di tahap optimum.

Ini pertama kalinya sebuah motosikal ‘production’ dilengkapi ciri tersebut.

Selain itu, Aprilia turut mengemas kini enjin V4 1,099cc yang kini menghasilkan 230hp. Ekzos titanium yang dibangunkan bersama rakan kerjasama SC-Project turut menyumbang kepada peningkatan kuasa mendadak itu.

Pada masa sama, penggunaan komponen ringan (terutamanya gentian karbon) juga menyaksikan Aprilia RSV4 XTrenta hanyalah seberat 165kg.

Antara ciri unik lain ditawarkan termasuk,  IMU Magneti Marelli, panel butang Jetprime, suspensi Ohlins dan rim magnesium Marchesini M7R Genesi.

Sementara itu, brek pula dikendalikan kaliper monoblock Brembo GP4-MS yang dipadankan bersama cakera brek T-drive 330mm.

Menurut Aprilia, tempahan bagi RSV4 XTrenta ini boleh dibuat bermula Selasa (6 September) pada harga EUR50,000 (RM222,400). 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]