Suzuki V-Strom 700 Jalani Ujian, Ganti V-Strom 650

Suzuki V-Strom 650 merupakan antara model yang telah lama berada dalam pasaran sejak diperkenalkan pada 2004. 

Akhirnya, selepas hampir 20 tahun, Suzuki akan menggantikan motosikal ‘adventure touring’ segmen pertengahan itu dengan sebuah model baharu.

Perkara itu didedahkan menerusi rakaman ‘spy shot’ terbaru yang dimuat naik baru-baru ini.

Walaupun sudah berusia hampir 20 tahun namun model 650cc Suzuki, termasuk V-Strom 650 dan SV650 kekal popular di pasaran Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Namun, tidak dinafikan, enjin V-Twin 650cc itu sudah berusia dan tidak lagi relevan untuk bersaing dengan pasaran semasa apatah lagi dengan peraturan emisi yang bertambah ketat.

Jadi, sememangnya sudah sampai masa untuk keluarga 650 Suzuki dinaik taraf agar dapat beri saingan dengan jenama lain.

Buat masa ini Suzuki tidak memberi sebarang pengesahan mengenai kapasiti enjin namun berdasarkan paten yang telah difailkan sebelum ini, Suzuki sememangnya sedang membangunkan enjin parallel-twin 700cc.

Ini secara tidak langsung mengesahkan bahawa V-Strom 700 tidak lagi akan menawarkan konfigurasi V-Twin seperti generasi 650.

Selain daripada enjin, rekaan bahagian depan – berdasarkan imej ‘spy shot’ – mendedahkan bentuk baharu terutamanya lampu depan yang diilhamkan dari model V-Strom 1050. 

V-Strom 700 itu juga dilihat datang dengan suspensi USD baharu dengan penggunaan rim 21-inci depan dan 18-inci belakang.

Bagi yang bertanya bilakah model ini akan diperkenalkan, kami jangka previu Suzuki V-Strom 700 ini akan berlangsung di EICMA 2022, November ini. 

Ketika ini, terdapat dua varian Suzuki V-Strom 650 dipasarkan, merangkumi V-Strom 650 dan V-Strom 650 XT. Untuk pasaran Malaysia, hanya varian V-Strom 650 XT dipasarkan di Malaysia dengan harga sekitar RM37,989.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]