Yayasan Metamorphosis Sasar 1,000 Belia Sertai Konvoi Merdeka

Yayasan Metamorphosis menyasarkan seramai 1,000 anak muda menyertai konvoi bermotosikal dari Kuala Lumpur ke Perak sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 27 Ogos ini.

Presidennya, Datuk Razalif Zain berkata, ia susulan program turun padang dan mendekati golongan mat rempit pada Sabtu agar mereka tidak terkecuali dalam sambutan Hari Kemerdekaan negara.

“Konvoi itu akan diadakan bermula jam 8 pagi hingga 6 petang dari Jalan Duta di sini, menuju ke Tambun, Perak dengan beberapa intipati program termasuk beramah mesra dengan anak muda yang turut serta.

“Kita akan bekerjasama dengan beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk mengawal keselamatan konvoi berkenaan,” katanya.

Pada Sabtu malam, Yayasan Metamorphosis mengadakan program santai bersama kira-kira 300 hingga 400 anak muda bermotosikal di sekitar Lembah Klang di sebuah restoran di Jalan Ipoh di ibu negara.

Razalif berkata, program ini adalah sebagai kesedaran kepada mat rempit agar tidak melakukan aktiviti yang membabitkan kesalahan jalan raya, namun dalam masa yang sama ruang tetap diberi kepada golongan berkenaan dengan cara lebih tepat.

“Kita mahu mereka sedar terhadap kesalahan yang dilakukan dan mahu mengelak mereka berada di jalan raya untuk merempit melalui penganjuran program-program terbabit.

“Sebelum ini, kita ada adakan program-program sebegini, namun ini adalah kali pertama kita adakan selepas dua tahun penularan wabak Covid-19,” katanya.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]