Penganjuran program Himpunan RXZ Members 4.0 Tahun 2022 di Gong Badak Sabtu lalu berjaya menjana pendapatan jutaan ringgit kepada rakyat Terengganu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau menerima laporan seramai 25,000 peserta yang berdaftar, namun jumlah keseluruhan yang hadir dianggarkan kira-kira 40,000 orang pemilik dan peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara.
Menurutnya, sepanjang berada di negeri ini, peserta terlibat berbelanja untuk tempahan penginapan seperti hotel dan homestay, makan serta membeli-belah.
“Saya juga mendapat laporan banyak kedai-kedai, restoran penuh dengan mereka (peserta Himpunan RXZ Member 4.0). Penduduk tempatan pun nak pergi membeli pun tak ada ruang.
“Jadi ini sebenarnya satu limpahan ekonomi kepada masyarakat di negeri Terengganu terutama peniaga-peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Peringkat Negeri Terengganu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.
Seramai 408 bekas pegawai dan anggota polis di negeri ini menerima anugerah tersebut.
Program Himpunan RXZ Members 4.0 itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dr. Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri bersedia menganjurkan program yang sama selepas ini kerana didapati memberi pulangan yang menguntungkan dari segi ekonomi kepada penduduk negeri ini.
“Jadi, saya percaya ini adalah salah satu ruang untuk merancakkan ekonomi di negeri Terengganu.
“Insya-Allah adakah lagi program ini berdasarkan sambutan luar biasa yang diterima daripada pemilik dan peminat RXZ,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa pula memberitahu, polis hanya menerima dua laporan kehilangan motosikal Yamaha RXZ sempena himpunan tersebut.
Katanya, dua motosikal tersebut dilaporkan hilang di sebuah homestay di sini pada Ahad lalu.
“Hanya dua motosikal RXZ yang dilaporkan hilang,” katanya ketika ditanya mengenai dakwaan sebanyak 230 buah motosikal RXZ dicuri yang tular di media sosial selepas himpunan itu.
Tambahnya, polis Terengganu juga tidak mengeluarkan saman kepada penunggang motosikal tersebut.