Berkat Menyimpan, Nenek 81 Tahun Menang Skuter Maxi BMW C 400 X

Advertisements

Seorang nenek berusia 81 tahun telah memenangi hadiah berupa sebuah skuter maxi BMW C 400 X.

Maznah Harun, 81, muncul antara pemenang utama kempen Simpan Berganda Menang Bergaya anjuran MBSB Bank Sdn dan berjaya membawa pulang skuter maxi dari BMW bernilai RM45,000.

Menariknya, Maznah berkata ini kali pertama dalam hidupnya berjaya memenangi hadiah seumpama itu.

“Sepupu memaklumkan kepada saya mengenai kempen ini dan mengesyorkan untuk menyertainya.

“Cuma tak sangka penyertaan kali pertama ini membawa tuah kepada saya untuk menang hadiah utama,” jelasnya.

BMW C 400 X merupakan sebuah skuter maxi yang dipasarkan BMW Motorrad Malaysia untuk pasaran tempatan.

Skuter maxi itu menampilkan rekaan terkini di samping tampil dengan enjin satu silinder 350cc yang menawarkan 34hp dan 7,500rpm serta 35Nm pada 6,000rpm.

Sementara itu, seorang lagi pemenang, Huang Wee Wan, 63, memenangi sebuah kereta jenis BMW X4 30i Sport.

Antara ganjaran lain yang ditawarkan termasuk pakej umrah dan pelancongan ke Eropah, sebuah Mercedes Benz A200, C200, iPhone dan banyak lagi. – BH

Advertisements