500 Penunggang Basikal Kena Sidai, Penganjur Lesap Pada Hari Acara Di Bukit Jalil

Hampir 500 penunggang basikal berang apabila pihak penganjur sendiri lesap pada hari penganjuran program berbasikal “Enduride Challenge” dan “Fun Ride with Stars” yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 31 Julai lalu.

Senario itu membuatkan kesemua penunggang basikal yang hadir untuk acara itu berasa bingung dan kecewa apabila pihak penganjur gagal dikesan sebaik peserta tiba seawal 6.30 pagi dengan program sepatutnya bermula jam 8 pagi.

Pihak penganjur juga sempat memuat naik kapsyen “Jumpa ada semua esok” di sebelah malam sebelum itu sekaligus beri bayangan program tersebut akan berjalan seperti biasa.

Namun, ketika Axiata Arena telah dibanjiri peserta, penganjur hanya memaklumkan pembatalan program tersebut pada jam 11.41pagi dengan alasan individu yang bertanggungjawab bagi acara tersebut tidak muncul.

Sementara itu, pihak penganjur telah pun memaklumkan akan membuat bayaran balik secara penuh kepada semua peserta terlibat.

Bagaimanapun, rata-rata peserta luah rasa tidak puas hati apabila ada yang datang dari Sabah dan ada juga yang memandu lebih tujuh jam dari Kelantan bagi menghadiri acara tersebut.

Ada juga yang mempersoal mengapa program sebesar itu bergantung kepada satu individu sahaja dan tiada pelan sokongan.

Difahamkan, setakat 3 Ogos, proses bayaran balik masih belum dilaksanakan dengan pihak penganjur berkata mereka mahu melakukan bayaran balik secara manual dan bukan menerusi pembekal tiket.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]