Khabar angin mengenai kemuncul Kawasaki ZX-4R mula timbul pada Mei tahun lalu menerusi beberapa laporan oleh media Jepun.
Khabar angin tersebut timbul beberapa bulan selepas Kawasaki melancarkan ZX-25R – jentera 250cc 4-silinder – di Indonesia.
Awal tahun ini, media terkemuka Jepun, antaranya Young Machine berjaya mendapatkan pengesahan dari sumber dipercayai bahawa Kawasaki akan memperkembang keluarga ZX-25R dengan versi yang lebih besar, dikenali sebagai ZX-4R.
Apatah lagi Kawasaki turut memfailkan paten nama ZX-4R sekaligus menguatkan lagi kemunculan model itu.
Dalam perkembangan terbaru, media Jepun Autoby melaporkan Kawasaki akan melancarkan ZX-4R pada penghujung tahun 2023.
Menurut laporan itu, Kawasaki ZX-4R akan menampilkan rekaan dan saiz hampir sama dengan ZX-25R.
Suspensi Showa Separate Function Fork-Big Piston (SFF-BP) 37mm juga akan dikekalkan sekaligus beri bayangan model 400cc itu tampil dengan rekaan kompak menyamai ZX-25R.
Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian adalah kuasa kuda yang mampu dihasilkan enjin 400cc 4-silinder itu. Menurut Autoby, Kawasaki ZX-4R akan datang akan menawarkan lebih 60hp (ZX-25R menghasilkan 50hp).
Ekoran kuasa yang lebih tinggi, ZX-4R akan didatangkan dengan cakera brek berkembar di depan termask penggunaan kaliper brek 4-pot.
Sementara itu, model 400cc ini juga dijangka tampil dengan ekzos lebih besar bagi mencapai standard emisi ditetapkan. Tayar belakang juga dijangka lebih besar berbanding ZX-25R.
Dalam perkembangan berbeza, Modenas, selaku pengedar rasmi jenama Kawasaki di Malaysia sebelum ini telah pun mengesahkan akan membawa masuk ZX-25R untuk pasaran negara pada tahun depan.
Namun, status sama ada model itu akan dijenamakan semula sebagai Modenas (CKD) atau dibawa masuk sebagai CBU masih lagi dalam peringkat perbincangan. – Autoby