Honda Civic Type-R Milik Warga Singapura Hilang Di Genting

Percutian hujung minggu ke Genting Highlands berakhir dengan tragedi untuk seorang lelaki warga Singapura yang keretanya dicuri.

Damien Yeo, seorang eksekutif operasi berumur 28 tahun, telah memandu Honda Civic Type-R ke Genting Highlands bersama teman wanitanya dan dua lagi rakannya pada Jumaat lalu.

Dia kemudian meletakkan kenderaannya di pusat beli-belah SkyAvenue kira-kira jam 12 tengah hari itu, tetapi apabila dia kembali ke tempat letak kereta pada petang berikutnya, dia mendapati keretanya telah hilang.

“Saya menghabiskan kira-kira dua jam melalui tempat letak kereta berulang kali,” kata Yeo.

Selepas mengesahkan dengan pihak pengurusan pusat beli-belah bahawa keretanya tidak lagi berada di premis mereka, lelaki itu membuat laporan polis.

Dengan harapan akan mendengar berita baik daripada pihak berkuasa, Yeo dan rakan-rakannya tinggal di Genting sehingga petang Ahad. Malangnya, tidak ada maklumat tentang keberadaan keretanya.

Yeo kemudiannya menaiki kereta kawannya pulang ke Singapura pada malam itu.

Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditunjukkan polis Malaysia kepadanya, Honda kali terakhir dilihat dipandu menuruni gunung itu kira-kira jam 2 pagi Sabtu.

Lelaki itu menganggarkan Honda miliknya bernilai kira-kira $220,000, sambil menambah bahawa seseorang telah menawarkannya $200,000 untuk kereta itu hanya dua minggu lalu.

Menurut Sgcarmart, Honda Civic Type R yang didaftarkan pada 2018 dipasarkan pada harga sekitar $168,000, manakala satu lagi model serupa yang didaftarkan pada 2019 dipasarkan pada harga $198,999.

Yeo turut menyiarkan gambar keretanya dalam pelbagai kumpulan Facebook dalam usaha merayu maklumat lanjut mengenai keberadaannya.

Pada masa artikel ini ditulis, catatannya di kumpulan Facebook SG Road Vigilante telah menerima lebih 1,000 reaksi dan hampir 500 komen.

Khususnya, beberapa netizen menyatakan bahawa model kereta itu agak popular dengan pencuri di Malaysia.

“Dengan kereta diubah suai seperti ini, anda harus [lebih] berhati-hati dan memasang kunci anti-kecurian,” tulis seorang netizen.

Walaupun netizen cuba membantu, Yeo mengakui bahawa dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk mendapatkan semula keretanya, “berdasarkan pengalaman orang lain”.

Ketika berita ini ditulis, lelaki itu berkata dia tidak pasti sama ada dia akan dapat membuat sebarang tuntutan insurans untuk keretanya yang dicuri.

Sebagai pesanan, kami ingin mengingatkan anda walaupun kecurian kereta tidak dapat dihalang sepenuhnya, terdapat beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk mencegah kejadian tidak diingini ini.

Selain daripada menggunakan kunci stereng, cara lain untuk menghalang kereta anda daripada dicuri adalah dengan memastikan semua tingkap dan pintu dikunci, dan tidak meninggalkan sebarang barang berharga di dalam kenderaan yang boleh menggoda bakal pencuri.

Jika anda kerap memandu antara Malaysia dan Singapura, pastikan anda juga dapatkan insurans yang bmenawarkan perlindungan jika berlaku kecurian di kedua-dua negara tersebut.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply