Alatan komunikasi seperti ‘intercomm’ kini semakin popular di kalangan penunggang motosikal.
‘Intercomm’ menjadikan interaksi dengan telefon pintar lebih mudah dan jelas tanpa perlu memegang telefon untuk tujuan mendengar lagu, radio, dan sebagainya.
‘Intercomm’ juga membolehkan penunggang berkomunikasi dengan pembonceng dengan lebih mudah tanpa perlu menoleh kepala untuk bercakap di samping membolehkan penunggang berkomunikasi dengan penunggang motosikal lain sewaktu berkonvoi.
Segala fungsi ini menjadikan ‘intercomm’ sebagai antara aksesori wajib terutamanya bagi kaki ‘ride’.
Bagi memeriahkan lagi aktiviti ‘ride’ dikalangan penunggang motosikal di Malaysia, Cardo Malaysia telah melancarkan Cardo Packtalk Edge serba baharu.
Cardo Packtalk Edge merupakan alat ‘intercomm’ terbaru serta premium dan merupakan model ‘flagship’ terbaru Cardo Malaysia menggantikan Packtalk Bold.
Packtalk Edge juga menawarkan fungsi Bluetooth 5.2 terkini dan Dynamic Mesh Communication (DMC) generasi kedua.
Perbezaan ketara antara Packtalk Edge dan Packtalk Bold terdahulu adalah rekaan yang lebih kemas dan minimalis di samping ketiadaan antenna yang sebelum ini menjadi ciri utama Packtalk Bold.
Selain fungsi dinaik taraf, Cardo turut mengemas kini bahagian lekapan yang kini dikenali sebagai ‘Air Mount’.
‘Air Mount’ merupakan sistem lekapan yang menggunakan bahan magnetik.
Bahan magnetik itu memastikan Packtalk Edge mudah dipasang dan ditanggalkan dengan hanya menggunakan sebelah tangan sahaja.
Daya magnetik yang kuat itu juga memastikan Packtalk Edge dilekap dengan lebih kukuh dan stabil meskipun menunggang dalam kelajuan tinggi.
Selain itu, Packtalk Edge juga tampil dengan ciri ‘fast charging’ hasil penggunaan kabel USB Type-C. Menurut Cardo Malaysia, bateri Packtalk Edge boleh bertahan sehingga 13 jam bagi setiap cas penuh.
Pada masa sama, generasi kedua DMC itu membolehkan Edge dihubungkan antara dua hingga 15 alat pada satu masa dengan jarak mencapai hingga 1,600 meter.
Paling penting, Cardo Packtalk Edge juga dilengkapi speaker berkualiti tinggi hasil kerjasama dengan JBL.
Kami diberitahu bahawa JBL bukan sahaja terlibat dalam pembangunan perkakasan (hardware) malah turut terbabit menghasilkan bahagian perisian (software) bagi memastikan Packtalk Edge menawarkan bunyi berkualiti tinggi.
Sementara itu, orang ramai yang berminat boleh mendapatkan Cardo Packtalk Edge di pengedar rasmi dengan harga RM1,649. Setiap pembelian didatangkan dengan waranti tiga tahun.