Suzuki Mungkin Hentikan Pengeluaran GSX-R1000

Baru-baru ini, Suzuki telah pun secara rasminya mengesahkan akan meninggalkan kejuaraan dunia MotoGP sebaik musim 2022 berakhir.

Suzuki dalam satu kenyataan mendedahkan bahawa telah mencapai persetujuan bersama Dorna untuk menamatkan kontrak penyertaan di MotoGP itu musim ini.

Sewaktu pengumuman rasmi tersebut, Suzuki turut mengesahkan akan membatalkan penyertaan di Endurance World Championship (EWC) sebaik musim 2022 tamat.

Menurut presiden, Toshihiro Suzuki, keputusan untuk meninggalkan MotoGP dan EWC adalah sebahagian daripada usaha untuk mengalihkan perbelanjaan kepada inisiatif lain termasuk pembangunan teknologi elektrik.

Walaupun penglibatan di EWC tidaklah berprofil tinggi seperti MotoGP, namun pasukan Suzuki Endurance Racing Team (SERT) berjaya muncul juara pada musim 2020 dan 2021 dengan jentera GSX-R1000.

Dengan ketiaadan program permotoran dalam kalendar Suzuki bermula tahun depan, ini bermakna kilang Hamamatsu tidak lagi mempunyai pentas sesuai bagi menguji jentera superbike GSX-R1000 generasi baharu.

Bukan itu sahaja, misi baharu Suzuki dalam penghasilan teknologi yang lebih bersih pastinya tidak merangkumi pembangunan jentera GSX-R1000.

Jika Suzuki tidak terlibat dengan sebarang sukan permotoran, maka tiada sebab untuk Suzuki membangunkan jentera GSX-R1000 baharu.

Ketika ini, pengeluar motosikal Jepun lain seperti Honda, Yamaha, Kawasaki masih boleh meneruskan pembinaan jentera superbike kerana terbabit dengan MotoGP dan WorldSBK.

Selain itu, Suzuki juga sudah lama tidak melakukan naik taraf besar-besaran pada GSX-R1000 sejak 2017.

Apatah lagi kejayaan Joan Mir merangkul juara dunia MotoGP pada musim 2020 langsung tidak membantu dalam meningkatkan jualan GSX-R1000 seolah memberi bayangan bahawa permintaan terhadap motosikal itu semakin berkurang.

Mengambil kira kesemua faktor ini, masa depan Suzuki GSX-R1000 jelas kelihatan malap.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]