Zaman sekarang, stesen minyak bukan hanya jadi lokasi untuk mengisi minyak malah ada yang gemar menjadikan stesen minyak sebagai ‘port’ melepak bersama rakan-rakan.
Bagi mengatasi masalah ini, beberapa stesen minyak di UK telah mengambil tindakan dengan mengenakan kompaun pada mereka yang berhenti terlalu lama selepas mengisi minyak.
Laporan oleh British Motorcyclist Federation (BMF) mendakwa beberapa stesen petrol antaranya BP dan Shell di negara itu telah mengenakan tindakan kompaun dan had masa letak kenderaan.
Beberapa stesen minyak hanya membenarkan orang ramai untuk berada di stesen minyak tidak lebih dari 30 minit.
Bagi menguatkuasakan peraturan tersebut, beberapa stesen minyak telah mengupah syarikat swasta bagi mengendalikan urusan letak kereta dan sebagainya dan jika ada yang didapati melanggar peraturan tersebut, syarikat tersebut akan mengenakan kompaun.
Walaupun langkah terbaru itu dilihat efisien ketika ini namun difahamkan peraturan tersebut memberi impak negatif pada pengguna kenderaan elektrik yang memerlukan tempoh lama untuk mengecas kenderaan masing-masing.