Nama Haqiem Stopa tak asing lagi bagi mereka yang sentiasa mengikuti “influencer” media sosial tempatan.
Beliau yang henti persekolahan pada Tingkatan Dua mengatakan walaupun persekolahannya tidak lengkap, dia masih berusaha untuk mengubah hidupnya.
“Saya tidak boleh tutup mulut orang tetapi cuba berusaha mengubah hidup walaupun hanya bersekolah setakat di Tingkatan Dua saja,” katanya.
Haqiem, 22, sebelum ini menerima kecaman hebat netizen selepas Timbalan Menteri Perpaduan Negara Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengangkatnya sebagai ikon permotoran anak muda.
Kemudian, dia sekali lagi dikecam netizen yang mempersoalkan kelayakannya diundang sebagai penceramah program motivasi sebuah sekolah menengah di sini (Kuala Lumpur) untuk berkongsi kisah hidupnya bersama pelajar.
Bagaimanapun, Haqiem menerusi ruangan Instagram (IG) Story memaklumkan kehadirannya bukan untuk mengajar pelajar membawa motosikal sebagaimana yang didakwa tetapi lebih kepada berkongsi latar belakang dirinya sendiri yang bangkit daripada kegagalan.
Pemuda berasal dari Tanah Merah, Kelantan itu berkata, dia adalah anak bongsu daripada 12 beradik dan tinggal berjauhan dengan keluarga sejak berhijrah ke ibu kota enam tahun lalu.
“Ikutkan, emak dan ayah marah apabila saya ambil keputusan berhenti sekolah. Mereka ambil masa untuk terima dan saya faham emak serta ayah mahu yang terbaik juga berjaya seperti adik-beradik lain.
“Berulang kali juga saya terangkan pada keluarga dan selepas kemalangan hingga patah kaki pada awal 2020, baru keluarga merestui apa yang saya lakukan,” katanya dalam laporan oleh Harian Metro.
Bermula dengan bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kelantan, Haqiem kemudian mengambil keputusan tuntuk cuba mencari rezeki di ibu kota.
Sejak menjejakkan kaki ke sini, pelbagai pekerjaan pernah dilakukan Haqim antaranya pembantu di kedai telefon bimbit selain bekerja di golf resort.
Bagaimanapun, minat terhadap motosikal menyebabkannya mengumpul wang bagi membeli motosikal dan rutin menunggang sekadar hobi walaupun ramai mengaitkannya dengan kegiatan merempit.
Menyedari peluang untuk mencari rezeki, Haqiem menjalankan perniagaan minyak hitam berbekalkan wang simpanannya.
“Tengok orang ada, saya juga mahu jadi kumpul duit dan beli motosikal dengan wang simpanan. Cuma, saya nampak minat itu boleh menjana pendapatan jadi cuba usahakan perniagaan minyak hitam kerana melihatnya satu keperluan.
“Alhamdulillah, sambutannya semakin baik jadi ia beri semangat untuk merealisasikan perancangan bagi kembangkan lagi perniagaan,” katanya.
Menurut Haqiem, dia sudah lali dengan tanggapan negatif orang ramai terhadapnya terutama sejak dirinya aktif dan dikenali di laman sosial.
“Bagaimanapun, saya berusaha ubah persepsi dan pandangan masyarakat dengan jadikan perniagaan sebagai satu kerjaya.
“Niat saya adalah cari rezeki halal dan tunjuk kepada orang luar yang individu suka bermain motosikal bukan boleh dipandang rendah. Terpulang kepada masyarakat jika mahu terus ada tanggapan sebegitu,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan akan menyiasat tindakan sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur memanggil pempengaruh media sosial, Haqiem Stopa sebagai penceramah dalam program mereka.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana perlu meneliti dari segi konteks mengapa Haqiem dipanggil.