Tiada Dokumen, Pemilik Meninggal Punca Sukar Lupus Kenderaan Lama

Kenderaan-kenderaan lama di negara ini sukar dilupuskan, kebanyakannya akibat ketiadaan dokumen pendaftaran asal selain pemilik meninggal dunia.

Menurut laporan Utusan Malaysia, pakar pengangkutan yang juga Pengarah MDS Traffic Planners & Consultants, Dr. Rosli Khan berkata, keadaan itu merumitkan usaha pihak berkuasa melupuskan mana-mana kenderaan termasuk yang tersadai.

Katanya, pihak berkuasa tidak mempunyai kuasa memansuhkan kertas pendaftaran atau mengambil tindakan melupuskan kenderaan yang tiada pemilik.

“Lebih 30 peratus kenderaan yang berdaftar sejak 1946 sudah tidak lagi ada dari segi fizikalnya, yang tinggal cuma rekod pendaftaran, malah kertas pendaftaran juga tiada.

“Malaysia belum memiliki polisi pelupusan kenderaan dan perkara itu mungkin boleh difikirkan bersama tentang kaedah bersesuaian untuk melupuskan kenderaan bukan sahaja dari segi fizikal tetapi urusan rekod dan kertas pendaftaran,” katanya di sini semalam.

Sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi kajian End of Life Vehicle (ELV) mendedahkan, lebih tujuh juta kereta dan lori buruk tersadai di seluruh negara berikutan ketiadaan dasar membabitkan pelupusan kenderaan lama itu.

Situasi itu sekali gus menyebabkan banyak kawasan perumahan dan kemudahan awam menjadi tempat lambakan kenderaan tersebut sehingga mengganggu masyarakat setempat.

Seorang penyelidiknya, Prof. Dr. Rozmi Ismail berkata, kenderaan-kenderaan tersadai itu berisiko mencemarkan alam sekitar kerana masih mempunyai minyak enjin dan sebagainya selain menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes.

Sementara itu, Rosli menambah, di negara-negara maju seperti United Kingdom dan Jepun, terdapat pihak ketiga yang sanggup menerima atau membeli kenderaan-kenderaan lama, usang dan yang tidak boleh digunakan lagi untuk dikitar semula sebagai alat ganti.

Katanya, tugasan pihak ketiga itu dikendalikan oleh peniaga besi buruk dengan persetujuan pemilik dan kelulusan daripada pihak berkuasa.

“Nombor pendaftaran lama itu mungkin masih bernilai, jadi dengan kebenaran pemilik dan pendaftar iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ia boleh dipindah milik kepada pemilik baharu.

“Contoh ini boleh dijadikan panduan ke arah langkah yang inginkan oleh banyak pihak terlibat,” katanya.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply