Kawasaki Lancar Ninja 1000SX Baharu 15 Julai Ini

Kawasaki bakal memperkenalkan generasi baharu Ninja 1000SX untuk pasaran global bulan ini.

Generasi terbaru Ninja 1000SX itu merupakan jawapan Kawasaki bagi menandingi GSX-S1000GT yang diperkenalkan Suzuki hujung tahun lalu.

Selama ini, motosikal ‘sports tourer’ itu sering diposisikan di antara ZX-10R dan Versys 1000 kerana menawarkan ciri jentera touring namun dengan kuasa seperti sebuah superbike.

Bagaimanapun, menurut laporan di Jepun, rekaan Ninja 1000SX akan datang itu akan lebih mengikut acuan ZX-10R baharu namun masih lagi mengekalkan tempat duduk yang selesa dan ergonomik tempat duduk yang lebih menegak sesuai untuk kegunaan jarak jauh.

Sementara itu, Ninja 1000SX itu akan dikuasakan enjin empat-silinder 1043cc yang telah ditala bagi menghasilkan kuasa lebih lancar pada rev rendah dan pertengahan.

Meskipun info sahih belum dikongsikan ketika ini namun media Jepun, Bike News mendedahkan bahawa Kawasaki akan melancarkan Ninja 1000SX itu pada 15 Julai ini.

Persoalannya, adakah Ninja 1000SX baharu itu akan turut dipertimbang pihak MODENAS untuk pelancaran di pasaran tempatan sebagai model CBU? Apa pun, nantikan pelancaran global Ninja 1000SX di Jepun pada 15 Julai ini.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]