MBPP Tebang Pokok Kelapa Berisiko Ancam Keselamatan

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah memulakan operasi menebang sebanyak 19 pokok kelapa yang dikenal pasti berisiko mengancam keselamatan pengguna jalan di Jalan Teluk Kumbar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, berkata kerja menebang pokok kelapa berkenaan membabitkan 15 petugas MBPP serta dua jentera angkat atau skylift.

“Bermula dengan 11 pokok yang kita kenal pasti pagi tadi telah meningkat kepada 19 pokok setakat ini dan mungkin juga bilangannya boleh bertambah lagi dengan radius pemerhatian kami sejauh lebih 1 kilometer.

“Kami berharap urusan menebang kesemua pokok itu selesai lewat petang ini bagi memberi keyakinan kepada pengguna untuk menggunakan jalan itu,” katanya.

Operasi menebang kesemua pokok membabitkan laluan yang agak sibuk menghubungkan Teluk Kumbar dan Balik Pulau dengan satu lorong jalan terpaksa ditutup sehingga menyebabkan kesesakan di jalan terbabit, membuatkan operasi itu lebih mencabar.

Azrul Mahathir berkata, kesemua pokok kelapa dari Jalan Teluk Kumbar hingga Jalan Sungai Batu terbabit berada di atas tanah milik MBPP yang dijadikan rizab jalan selain tanah milik persendirian.

Katanya, kebanyakan pokok kelapa itu hanya dibiarkan tanpa dijaga rapi atau dikutip hasil oleh pemiliknya dan tiada aduan dilakukan pemilik pokok berkenaan.

Sebelum ini, satu rakaman video menunjukkan sebiji buah kelapa menimpa pembonceng motosikal yang melalui Jalan Teluk Kumbar menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan kini sedang menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang telah tular.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply