Bengkel Motosikal Terbakar, Disyaki Khianat

Advertisements

Unsur khianat disyaki apabila bengkel motosikal di Melor, Kota Bharu, milik seorang mekanik terbakar dan musnah, menyebabkan kerugian bernilai RM35,000.

Kejadian itu disedari oleh pemilik bengkel, Mahadi Zulkifli, 51, kira-kira pukul 3.50 pagi apabila terdengar bunyi letupan dari bengkel yang terletak sebelah rumahnya yang menyebabkannya terbangun dari tidur.

Ketika itu, dia turut terhidu bau hangit dari arah bengkelnya yang menempatkan empat buah motosikal miliknya dan anak saudara untuk dibaiki.

“Melihat situasi itu, saya terus menghubungi bomba. Dalam keadaan kelam kabut, saya tidak sempat menyelamatkan motosikal jenis Yamaha 155, Yamaha Y15, Yamaha Ego dan Modenas Kriss.

“Saya mengesyaki ada perbuatan khianat dan meminta agar pihak polis menjalankan siasatan selain mengambil tindakan segera terhadap orang yang bertanggungjawab melakukan perbuatan khianat ini,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd. Roslan Omar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu kira-kira pukul 3.54 pagi.

“Kita berjaya mengawal kebakaran kira-kira pukul 4.19 pagi dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya tiga minit kemudian.

“Kita masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti punca kebakaran itu,” katanya. 

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.