Motosikal berkuasa tinggi terbabas, suri rumah maut

Akibat sebuah kereta yang membrek secara tiba-tiba, seorang suri rumah maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang suaminya terbabas akibat mengelak sebuah kereta itu.

“Insiden itu menyebabkan Asmiran mengelak kereta tersebut sebelum motosikal yang ditunggangnya terbabas ke bahu kiri jalan.

“Mangsa dipercayai telah jatuh dari motosikal sebelum mukanya tersembam ke atas permukaan jalan,” kata Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman.

Kejadian berlaku di lampu isyarat di Kilometer 80.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Jabatan Pengangkutan Jalan, Bukit Bunga semalam.

Mangsa, Sharipah Saad, 48, dan suaminya, Asmiran Dahari, 50, dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke acara Terengganu Bike Week di Pantai Batu Burok, Terengganu ketika kejadian jam 11.30 pagi itu.

Siasatan awal mendapati Asmiran yang merupakan pemandu bas membonceng mangsa dengan menunggang motosikal jenis Kawasaki GTR 1400 dari Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Kuala Terengganu.

Menurut Wan Zulfikri, pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan dan mereka dibawa ke Hospital Jeli sebelum Sharipah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital berkenaan kira-kira tiga jam selepas kejadian.

Katanya, siasatan awal turut mendapati, kemalangan tersebut berpunca daripada kegagalan penunggang motosikal berkuasa tinggi itu untuk menjaga jarak pemanduan sehingga menyebabkan hilang kawalan.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]