Indonesia sasarkan 6 juta e-motosikal atas jalan raya menjelang 2025

Indonesia juga tidak terlepas daripada melaksanakan tanggungjawabnya dalam memerangi perubahan iklim, dengan sasarannya untuk memenuhi jalan raya dengan sekurang-kurangnya enam juta e-motosikal menjelang 2025.

Ini merupakan sebahagian daripada usaha negara itu dalam mengurangkan pelepasan karbon dan menjimatkan penggunaan bahan api fosil.

Kerajaan telah membabitkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk perusahaan milik kerajaan untuk mencapai sasaran berkenaan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral, Ego Syahrial di luar Mesyuarat Kumpulan Kerja Peralihan Tenaga (ETWG) G20 Indonesia di Jakarta Jumaat lepas.

Beliau berkata, kerjasama itu tertumpu untuk melaksanakan program penukaran tenaga dan pembangunan infrastruktur yang boleh menyokong ekosistem kenderaan elektrik di Indonesia.

“Pelaksanaan program itu akan dapat menjimatkan bahan api kira-kira 13 juta tong setahun atau bernilai Rp16 trilion (RM4.7 bilion) setahun, mengurangkan pelepasan karbon sebanyak empat juta tan setahun, dan meningkatkan penggunaan elektrik sebanyak 2.4 terawatt-jam setahun,” katanya.

KEmenterian tersebut telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan firma elektrik negara, PLN dan syarikat minyak dan gas negara, Pertamina bagi program penukaran kepada motosikal elektrik.

Satu lagi MoU turut ditandatangani antara PLN dan Bank Mandiri, BRI, BNI, dan BTN untuk kredit pemilikan kenderaan elektrik serta pembangunan infrastruktur stesen pengecas kenderaan elektrik awam.

Menurut Ego, program penukaran e-motosikal akan memberi peluang kepada generasi muda untuk memperoleh kemahiran baharu, membuka pekerjaan baharu, dan meningkatkan pengeluaran komponen tempatan.

Sementara itu, Presiden Pengarah PLN, Darmawan Prasodjo, berkata program menukar motosikal petrol kepada motosikal berkuasa elektrik mampu mempercepatkan peralihan tenaga, mengurangkan import dan subsidi bahan api fosil, serta menjimatkan pertukaran mata wang asing negara.

“Menggunakan kenderaan elektrik boleh mengurangkan pelepasan karbon, memandangkan satu daripada sumbangan pelepasan karbon terbesar hari ini datang daripada sektor pengangkutan,” katanya.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]