Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi berkongsi detik menggerunkan yang pernah menimpa dirinya tahun lalu.
Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Hulu Selangor dari Seri Kembangan, Muhammad Firdaus Mukhtar, 30, berkata motosikal jenis Yamaha MT-09 yang ditunggangnya pada waktu itu telah terjunam ke dalam lubang di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Menurut Firdaus, ketika itu tiada sebarang kon atau tanda amaran diletakkan pada lubang yang mencapai kedalam paras betis tersebut yang
terbentuk ekoran kerja-kerja kontraktor jalan raya.
Susulan kejadian berkenaa, dia mengalami kerugian RM42,000 akibat kerosakan motosikal tersebut.
“Motosikal memang total loss, namun saya bersyukur hanya mengalami luka ringan ekoran pada hari kejadian memakai sut penuh untuk bermotosikal.
“Tambahan pula, sebuah kereta dari arah belakang sempat brek kenderaannya. Jika tidak, mungkin perkara lebih buruk akan berlaku,” jelasnya kepada Kosmo.
Pada masa sama, Firdaus luah rasa kecewa dengan sikap kontraktor yang mengambil mudah aspek keselamatan sewaktu melakukan kerja sehingga boleh menggugat nyawa pengguna jalan raya lain.
“Benda ini (jalan berlubang) sangat serius dan kalau tidak dibendung boleh mengancam nyawa.
“Nasib nyawa saya masih panjang, kalau tidak mati digilis. Kita harap pihak berwajib memandang serius mengenai jalan berlubang ini,” tambahnya.
Baru-baru ini, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua, mendedahkan sebanyak 285 kes kematian berpunca dari jalan berlubang telah direkodkan antara 2014 hingga 2018. – KOSMO