MotoGP: Jorge Martin Tekad Tinggalkan Ducati Jika Tak Dapat Slot ‘Factory’

Advertisements

Jorge Martin sudah mula rasa kurang senang dengan kedudukannya menjelang musim 2023.

Ini kerana pelumba Sepanyol itu sebelum ini hampir pasti akan diangkat ke pasukan factory Ducati bagi musim 2023.

Bagaimanapun, ekoran prestasi memberangsangkan pelumba Gresini Racing, Enea Bastianini dengan merekodkan dua kemenangan setakat ini di samping menduduki tempat ketiga kejuaraan dunia membuatkan kedudukan Martin kini tergugat.

Pelumba Ducati, Jack Miller telah pun mengikat kontrak dua tahun bersama KTM bermula musim depan sekaligus terdapat kekosongan di kem factory Ducati.

Meskipun akui gembira dengan pasukan Pramac Racing ketika ini namun Martin menegaskan dia mahu beraksi dengan jentera factory Ducati musim depan.

“Pramac merupakan pasukan terbaik pernah saya sertai dan saya sangat gembira berada di sini.

“Tetapi jika saya tidak mendapat jentera factory Ducati musim depan, saya akan mencari alternatif lain. Apa pun, buat masa ini, saya hanya mahu memberi fokus terhadap diri saya dan cuba berikan yang terbaik untuk pasukan ini,” jelas Martin.

Meskipun di awal musim nama Martin disebut sebagai calon terbaik untuk digandingan bersama Francesco Bagnaia di pasukan Ducati MotoGP namun kemunculan Bastianini ternyata mampu memadam harapan itu.

Apatah lagi, Bastianini merupakan pelumba Itali maka secara tidak langsung juga boleh memberi kelebihan terhadap pemilihan calon bagi musim 2023 nanti.

Advertisements