MotoGP: Quartararo ‘Tapau’ Litar Catalunya, Espargaro Malu Besar

Fabio Quartararo terus mengukuhkan kedudukan sekalu pendahulu kejuaraan MotoGP musim 2022 selepas memenangi pusingan kesembilan di GP Catalunya.

Meskipun bermula di petak ketiga namun Quartararo bermula baik untuk terus berada di depan selepas selekoh pertama sebaik perlumbaan dilepaskan.

Ketika baki dua lap terakhir, Quartararo selesa berada di depan dengan jurang lebih 5 saat dihadapan Aleix Espargaro.

Sementara itu, Espargaro berpeluang cerah untuk menamatkan aksi di tempat kedua namun kesilapan di lap terakhir memakan diri.

Pelumba Sepanyol itu secara tiba-tiba mengangkat tangan dan meraikan kejayaan ditempat kedua kerana menyangka perlumbaan telah berakhir sedangkan masih berbaki satu lap lagi.

Kelalaian itu menyebabkan dia mudah dipintas tiga pelumba lain, Jorge Martin, Johann Zarco dan Joan Mir sebelum terpaksa berpuas hati dengan kedudukan kelima.

Keputusan perlumbaan menyaksikan Quartararo terus dahului kejuaraan dengan 147 mata diikuti Espargaro kedua (125 mata) dan Enea Bastianini ketiga (94 mata).

Pada masa sama, wakil Ducati, Francesco Bagnaia turut berputih mata untuk terus merapatkan jurang dengan Quartararo apabila kemalangan sebaik perlumbaan dilepaskan.

Bagnaia terlibat kemalangan dengan Alex Rins dan Takaaki Nakagami dengan pelumba Jepun itu hilang kawalan lalu menyebabkan kedua-dua pelumba lagi bersara awal.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]