Tidak dapat dinafikan pengguna dua roda paling terdedah dengan bahaya di jalan raya.
Jika melanggar orang lain pun sudah cukup untuk nyawa melayang apatah lagi jika dilanggar, risiko untuk terselamat daripada kecelakaan jalan raya amatlah tipis.
Saban minggu ada sahaja kes kemalangan maut babitkan penunggang motosikal yang diterbitkan berita tempatan dengan mangsa dilaporkan sebagai seorang ayah, ibu, suami, isteri dan anak.
Baru-baru ini, Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussein berkongsi sedikit peringatan kepada pengguna dua roda di Malaysia.
Tidak perlu diperkenalkan lagi, Datuk Kapten Nik merupakan antara individu penting sewaktu tragedi MH370. Merupakan Ketua Juruterbang untuk syarikat penerbangan negara sebelum bersara, beliau juga merupakan seorang ‘rider’ tegar.
Memiliki pengalaman 50 tahun menunggang motosikal dan pernah memiliki lebih dari 200 buah jentera dua roda pelbagai ‘genre’.
Dalam perkongsian terbaru di akaun Facebook, Datuk Kapten Nik berkongsi beberapa poin penting sebagai peringatan kepada penunggang motosikal di Malaysia untuk menunggang dengan selamat.
- Sentiasa ada jalan keluar
- Kurangkan risiko kecederaan dengan memakai ‘riding gear’
- Tetapi sentiasa beringat memakai ‘riding gear’ bukan menjadikan seseorang itu kebal.
- Sentiasa menjaga jarak terutamanya menunggang bersama kumpulan yang kurang dikenali.
- Jika tertinggal dibelakang sewaktu konvoi, TAK PERLU kejar. Kawan yang sebenar akan tunggu di depan.
- Tak perlu beriya nak berada di depan, tiada trofi menanti.
- Sentiasa pasang mata terhadap pemandu kereta/lori, kebanyakan pemandu adalah ‘buta’ dan ‘pekak’.
- Sentiasa berjaga terhadap kenderaan yang bersaiz besar kerana terdapat banyak ‘blind spot’.
- Berhati-hati di simpang atau pusingan ‘U’, walaupun anda berada di jalan yang betul.
- Jangan ambil mudah Lampu Hijau, sentiasa berjaga-jaga.
- Sentiasa periksa keadaan di belakang.
- Perlahankan jentera sewaktu menghampiri kenderaan lain.
- Jangan tunggang lebih laju daripada kemampuan untuk berhenti.
- Berhati-hati di jalan raya utama dengan laluan dua hala.
- Berjaga-jaga dengan kehadiran penghadang jalan raya yang hanya melindungi kereta tetapi boleh membunuh penunggang motosikal.
- Lubang di jalan raya yang rata lebih bahaya dari lubang di jalan raya rosak.
- Tumpahan minyak boleh berlaku di mana-mana sahaja.
- Kemalangan pada 50km/j sudah cukup untuk membunuh.
- Tiada adab menunggang sewaktu konvoi boleh membahayakan penunggang lain.
- Keletihan dan tak cukup tidur adalah ‘silent killer’.
- Sentiasa berjaga-jaga sepanjang masa.
- Penyahidratan (tak cukup air) boleh cetuskan rasa ngantuk dan kurangkan tahap kesedaran.
Selain daripada poin penting yang dikongsikan, Kapten Nik turut memberi peringatan bahawa lima tahun pertama menunggang motosikal adalah tempoh yang paling membahayakan.
Pada masa sama, beliau juga mengingatkan bahawa jangan hanya melabur pada helmet yang mahal tetapi juga sertai kursus menunggang motosikal bertauliah.
Perkongsian panjang oleh Kapten Nik hanyalah bertujuan untuk memberi peringatan kepada penunggang motosikal di Malaysia yang sering berdepan bahaya bukan hanya berpunca dari orang lain malah diri sendiri.
“Selama 50 tahun menunggang motosikal, saya telah menyaksikan sendiri beberapa kawan saya kemalangan di depan mata (beberapa daripadanya maut), berada di kawasan kemalangan babitkan kawan-kawan dan mendengar kawan saya maut dalam kemalangan.
“Beberapa kali juga saya berada di rumah mayat menunggu ketibaan ahli keluarga, sesuatu yang saya harap tidak akan berlaku kepada sesiapa pun,” jelasnya dalam perkongsian tersebut.