Gergasi motosikal India, TVS Motor Company bakal sertai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) buat pertama kalinya menerusi pasukan TVS Racing.
TVS Racing akan terlibat dalam Kejuaraan One Make TVS Asia yang akan berlangsung seiring dengan ARRC.
Penyertaan TVS Racing turut disambut baik Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd (TWMR), Ron Hogg.
“Penyertaan TVS Racing dalam Kejuaraan One Make ini satu isyarat yang pastinya akan membuka ruang dalam pencarian bakat baharu.
“Apa yang lebih penting, dengan adanya rakan dan pengeluar baharu ini, ia akan mencetuskan minat kepada ARRC secara umumnya,” jelasnya.
Pada masa sama, Ketua Perniagaan Premium TVS Motor Company, Vimal Sumbly menyifatkan penyertaan sulung syarikat itu di ARRC akan memainkan peranan besar dalam membawa jenama itu ke peringkat global.
“Kami terujua mengenai mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa. Kejuaraan One Make TVS Asia akan memainkan peranan penting sebagai satu batu loncatan kami di peringkat global untuk TVS Racing.
“Kami mengambil peluang ini sebagai proses pembelajaran dari trek India dan mendemonstrasikan kemampuan kami di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Vimal mendedahkan bahawa pihaknya akan mempertaruhkan TVS Asia One Make Apache RR 310 bagi kejuaraan tersebut.
Kejuaraan One Make TVS Asia akan menyaksikan 16 pelumba seluruh Asia merebut slot akhir yang akan diputuskan pada 27 April dengan proses pemilihan akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang ketika pusingan 2 ARRC, bulan depan.