Sekitar bulan Oktober tahun lalu, MForce Bike Holdings Sdn Bhd telah pun mengumumkan bakal membawa masuk satu lagi jenama motosikal dari China yang dikenali sebagai QJ Motor.
QJ Motor merupakan antara jenama terbesar dari China dibawah naungan Qianjiang yang juga merupakan pemilik kepada beberapa jenama motosikal lain antaranya Benelli.
Berdasarkan info yang berjaya diperolehi baru-baru ini, kami dimaklumkan bahawa MForce bakal memperkenalkan model sulung QJ Motor untuk pasaran Malaysia bermula dengan SRK 600.
QJ Motor SRK600 merupakan motosikal jenis ‘naked’ yang telah pun dipasarkan di China.
SRK600 ini dibangunkan dengan menggunakan kerangka ‘steel trellis’ yang sama seperti Benelli TNT 600.
Selain reka bentuk yang agresif, model ini juga tampil dengan ciri moden antaranya skrin TFT berwarna serta sistem ‘keyless’.
Sistem membrek pula dikendalikan kaliper brek Brembo M4 yang dibantu dengan ABS.
Menurut sumber, jentera naked dari QJ Motor ini akan dilancarkan tidak lama lagi selepas kejayaan MForce memperkenalkan Moto Morini X-Cape 650 baru-baru ini.