MotoGP: Enea Bastianini Menang Di COTA, Marc Marquez Curi Tumpuan

Enea Bastianini menampilkan aksi cemerlang di GP Amerika apabila berjaya mengungguli pusingan kelima MotoGP, pada Ahad.

Pelumba Gresini Racing itu juga muncul pemenang berganda pertama musim ini selepas mendominasi GP Qatar, Mac lalu.

Keputusan itu juga menyaksikan Bastianini kembali mendahului kejuaraan dengan 61 mata, diikuti Alex Rins (56 mata) dan Aleix Espargaro (50 mata).

Bastianini berada di belakang Jack Miller di kebanyakan masa perlumbaan namun ketika aksi berbaki lima lap, Miller mula melakukan kesilapan dan terlepas beberapa apex.

Menyedari perkara itu, Bastianini berjaya memintas Miller di Turn 12 dan terus meninggalkan pelumba Ducati itu.

Miller juga terus terkesan dan pada lap akhir berjaya dipintas wakil Suzuki, Alex Rins. Rins sah tamatkan aksi di tempat kedua diikuti Miller, ketiga.

Sementara itu, enam kali juara dunia MotoGP, Marc Marquez turut mencuri tumpuan apabila berjaya bangkit dari tempat terakhir (P24) untuk menamatkan aksi di kedudukan keenam.

Meskipun terlepas dua pusingan (GP Indonesia, GP Argentina) ekoran kecederaan namun Marquez kembali menunjukan taring sebenar.

Walaupun bermula di petak ke-9, jentera Honda RC213V miliknya seakan alami masalah dan berada pada kedudukan terakhir menuju ke selekoh pertama.

Dia bagaimanapun berjaya memintas tujuh pelumba pada lap sama untuk memulakan misi memperbaiki kedudukan.

Dia kemudiannya memancung Maverick Vinales, Brad Binder, Takaaki Nakagami dan rakan sepasukan Pol Espargaro untuk tempat ke-10.

Menariknya, walaupun berada di kelompok pertengahan, Marquez beberapa kali merekodkan masa lebih pantas berbanding kelompok depan.

Pelumba Sepanyol itu terus mengasak dan memintas (Aleix Espargaro), Johann Zarco, Jorge Martin dan Fabio Quartararo untuk mengambil tempat keenam.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]