Tak Boleh Balik Ke Singapura Selagi Tak Bayar Saman – JSPT

Warga Singapura tidak akan dibenarkan keluar dari Malaysia sekiranya mempunyai saman tertunggak.

Pesalah trafik dari negara jiran itu juga boleh ditangkap sekiranya memiliki saman berstatus waran tangkap.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim.

“JSPT ingin mengingatkan kepada semua pesalah trafik warga Singapura bahawa mereka boleh dihalang keluar dari negara ini sekiranya mempunyai saman tertunggak sama ada Pol 170A atau Pol 257 berdasarkan di bawah Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan di bawah Seksyen 24(4) Akta Polis 1967.

“Sementara itu, jika pesalah trafik mempunyai saman berstatus waran tangkap, polis akan menangkap mereka dan dituduh di mahkamah.

“Sekiranya tidak dapat dituduh pada hari sama, pesalah trafik berkenaan akan ditahan jika tidak dapat mengemukakan penjamin dalam kalangan warga Malaysia, sebelum dituduh keesokan hari,” jelasnya dalam satu kenyataan, semalam.

Setakat ini sejumlah 108,757 saman yang masih belum dijelaskan pesalah trafik Singapura sejak 2016 hingga tahun lalu.

Sementara itu, Mat Kasim turut menyuarakan sokongan terhadap pelaksanaan pendaftaran kenderaan warga Singapura oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) yang akan dikuat kuasakan di pintu masuk negara tidak lama lagi. – HM

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply