RASMI: Marc Marquez Kembali Hujung Minggu Ini Di GP Amerika

Repsol Honda mengesahkan bahawa Marc Marquez akan kembali bersaing hujung minggu ini di GP Amerika.

Juara dunia lapan kali itu telah pun terlepas dua pusingan sebelum ini sejak mengalami kecederaan serius sewaktu sesi pemanas badan di Litar Mandalika, Mac lalu.

Marquez turut terlepas saingan GP Argentina apabila disahkan mengalami diplopia (pandangan berganda) kali kedua.

Bagaimanapun, pelumba berusia 29 tahun itu telah pun menyempurnakan rawatan konservatif dan akan kembali membuat penampilan pada pusingan 4 di Austin, Texas, bermula dengan sesi ujian bebas pada Jumaat.

Walaupun mempunyai rekod cemerlang di COTA (Circuit of the Americas), Marquez hanya akan memfokuskan pusingan kali ini untuk kembali membiasakan diri dengan jentera RC213V.

Aksi MotoGP kembali bersambung hujung minggu ini dengan pelumba Aprilia, Aleix Espargaro meneruskan saingan selaku pendahulu kejuaraan setelah memenangi pusingan ketiga di Argentina.

Espargaro kini mendahului dengan 45 mata diikuti Brad Binder (KTM), 38 mata dan Enea Bastianini (Pramac) 36 mata manakala pertahan juara, Fabio Quartararo (Yamaha) di kedudukan kelima dengan 35 mata.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]