Kerjasama antara Piaggio dan Zongshen telah pun berlangsung selama beberapa tahun dengan syarikat dari China itu bertanggungjawab memasang dan memasarkan motosikal Itali di negara itu.
Januari lalu, Piaggio telah pun mengesahkan bahawa sebuah motosikal baharu sedang dalam pembangunan dan bakal dilancarkan tahun ini.
Dalam perkembangan terbaru, Piaggio-Zongshen telah memfailkan paten enjin yang merujuk kepada platform V-Twin 900cc.
Menariknya, paten tersebut mendedahkan bahawa motosikal akan datang itu akan membawa lencana Gilera.
Motosikal itu juga pernah ditayangkan sebagai model konsep ketika di China International Motorcycle Trade Exhibition (CIMA) 2021 namun membawa nama Cyclone RA9.
Difahamkan, enjin baharu itu dibangunkan daripada platform V-Twin 896cc 90-darjah yang sama daripada Aprilia Shiver dan Dorsoduro 900.
Melihat kepada spesifikasi semasa, Aprilia Shiver 900 menawarkan 95hp pada 8,750rpm dan 90Nm pada 6,500rpm sekaligus memberi bayangan jumlah kuasa sama bakal ditawarkan enjin baharu itu.
Bagaimanapun, paling mencuri tumpuan adalah penggunaan jenama Gilera bagi model akan datang itu.
Piaggio memiliki jenama Gilera sejak 1969 namun selepas kegagalan yang dicatatkan beberapa model berkuasa tinggi yang diperkenalkan selepas itu – antaranya Gilera CX dan Nordwest 600 – syarikat itu mula diketepikan.
Sejurus selepas itu, nama Gilera hanya hidup sebagai pengeluar motosikal jenis skuter.
Namun, perkembangan terbaru dari Piaggio-Zongshen ini memberi bayangan bahawa penjenamaan semula Zongshen Cyclone RA9 kepada Gilera akan membuka pasaran yang lebih luas.
Walaupun Gilera baharu ini dibangunkan daripada teknologi Piaggio-Zongshen namun ia tetap satu perkembangan yang baik bagi jenama Itali itu sepertimana yang dilakukan Qianjiang dalam mengembalikan jenama Benelli.
Walaupun dihasilkan di China, Benelli TRK 502 muncul sebagai motosikal paling banyak di jual di Itali bagi tahun 2021.
Menggunakan kerjasama dengan Zongshen bagi mengurangkan kos pembuatan sambil memanfaatkan nama Gilera itu sendiri, Piaggio mampu mencipta resespi kejayaan sama seperti Benelli.