Cadangan menurunkan had laju kenderaan daripada 50km/j kepada 30km/j di beberapa kawasan di pusat bandar akan dibentangkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bulan hadapan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) masih dalam proses menetapkan butiran cadangan itu.
“Pengumpulan dan analisis data akan dijalankan dan jika dipersetujui maka ia akan dilaksanakan pada September tahun ini. Kawasan yang terlibat dalam kajian Miros ini adalah kawasan yang mempunyai had laju 60km/j dan 40km/j.
“Manakala jalan raya yang telah diwartakan dengan had laju 70km/j dan 80km/j tidak termasuk dalam kajian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Isnin (21 Mac).
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang ingin tahu pendirian DBKL berhubung cadangan Miros menurunkan had laju di kawasan terpilih mengikut jejak Kota Paris yang mewartakan had laju itu pada Ogos tahun lepas.
Jalaluddin berkata DBKL juga berpandangan menurunkan had laju adalah langkah yang baik kerana ia akan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya lain seperti penunggang basikal dan pejalan kaki.