Honda Monkey X One Piece Lancar Di Thailand – 300 Unit Sahaja!

Honda Thailand bersama bengkel modifikasi, Cub House telah berkerjasama dalam membangunkan Honda Monkey 125 edisi One Piece untuk pasaran negara itu.

Menurut info, model Honda Monkey Edisi One Piece itu merupakan permintaan oleh pihak Honda Thailand sendiri.

Ini bukan kali pertama Cub House menghasilkan model edisi khas seumpamanya kerana sebelum ini mereka juga memperkenalkan Monkey Edisi Gundam, Edisi Dragon Ball dan Edisi Hot Wheels.

Terdapat dua varian diperkenalkan, versi Monkey D. Luffy (watak utama One Piece) dan Tony Tony Chopper. Difahamkan, hanya 150 unit bagi setiap versi dihasilkan.

Menariknya, pilihan warna versi Monkey D. Luffy tampil dengan warna pakaian watak manga itu dengan gabungan biru dan merah. Namun sayangnya, warna topi jerami yang dipakai Luffy tidak kelihatan.

Sementera versi Tony Tony Chopper pula mengikut tema warna watak itu dengan gabungan warna biru dan merah jambu (pink) serta coklat.

Bukan itu sahaja, Honda Monkey edisi terhad itu juga disertakan dengan peti harta karun yang merangkumi helmet, penutup motosikal, nombor plat dan rantai kunci.

Bagaimanapun, Honda Monkey X One Piece itu kekal dikuasakan enjin satu silinder 125cc dengan suntikan bahan api yang menjana 9.2hp pada 7,000rpm dan 11Nm pada 5,250rpm.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]