Brabus 1300 R Dirasmikan – 180HP, 140NM

Beberapa portal dilihat rancak menyiarkan khabar berita mengenai kerjasama antara Brabus dan KTM yang mungkin menggunakan Super Duke sebagai asas kepada model gandingan baharu mereka.

Spekulasi turut berlegar di ruang internet baru-baru ini setelah dikatakan terdapat beberapa ujian yang berlangsung antara kedua-dua pihak.

Namun, misteri akhirnya terungkai apabila laman web rasmi KTM sendiri yang mendedahkan bahawa model itu sebenarnya adalah Brabus 1300 R.

Model gabungan Brabus dan KTM itu sepatutnya dilancarkan pada 11 Februari lalu, KTM tanpa sengaja mendedahkannya semalam sebelum posting tersebut ditarik semula.

Carian Google masih lagi menemukan gambar tersebut walaupun model Brabus 1300 R itu tidak lagi dipaparkan di laman web rasmi KTM.

Berdasarkan gambar yang didedahkan, karakter agresif 1290 Super Duke masih menerima sentuhan rekabentuk unik Brabus.

Dari sudut spefisikasi pula, tidak ada sebarang perkongsian yang dibuat dan harga jualan Brabus 1300 R itu juga masih dirahsiakan.

Apa yang diketahui, motosikal pertama daripada Brabus itu adalah berdasarkan platform 1290 Super Duke Evo.

Umum berpendapat, Brabus 1300 R akan dilengkapi fork WP Apex dan ‘electronic adjustable monoshock’, dijana bersama enjin V-Twin Super Duke 1,301cc berkuasa 180hp.

Model itu dijangka berkongsi banyak komponen KTM. Perbezaan paling ketara adalah pada lampu utama dan ventilator angin di bahagian hadapan.

Brabus 1300 R juga sarat dengan kemasan carbon fiber dan material ringan untuk tangki minyak, kaliper brek, ventilator, ‘footpegs’ dan ‘adjustable lever’.

Laporan awal mendedahkan hanya 77 unit Brabus 1300 R dibina sempena menyambut ulang tahun firma itu ditubuhkan iaitu pada 1977.

Warna yang dipamerkan adalah Magma Red (merah) dan Signature Black (hitam).

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]