MSF SuperMoto: Hafizh Syahrin, Azlan Shah Bertembung 13 Februari Ini

Bakal berlangsung ‘pertempuran’ antara dua pelumba ternama Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah dan Azlan Shah Kamaruzaman dalam aksi Pusingan 3 MSF SuperMoto 2021/22, pada hujung minggu ini (13 Februari) di Litar Tangkak.

Azlan dalam satu kenyataan berkata, “Saya suka bila beliau berlumba sekali kerana ia akan menjadikan perlumbaan lebih ‘syok’ dan mengujakan.”

Azlan yang juga merupakan juara Asian Road Racing dilihat selalu bersaing dengan Hafizh dalam perlumbaan motosikal.

Antara momen yang bersejarah adalah sewaktu perlumbaan Moto2 di Suzuka pada tahun 2015 di mana Azlan berjaya memintas Hafizh dan menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan perbezaan masa hampir lima saat.

Manakala Hafizh pula memberitahu bahawa beliau masih mencari-cari rentak dan akan cuba untuk berlumba dengan tenang.

Pada Disember yang lepas, Hafizh telahpun bertanding dalam perlumbaan supermoto yang dianjurkan oleh ZK Racing dan Brad, di mana dia berjaya mendominasi keseluruhan perlumbaan.

Di peringkat antarabangsa pula, Hafizh akan menyertai MIE Racing dalam perlumbaan WSBK tahun ini, menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R.

Perlumbaan yang bakal berlangsung hujung minggu ini bagaimanapun tidak akan disertai oleh pelumba berpengalaman, Gabit Saleh (juga juara FIM Supermoto) atas faktor kesihatan.

Perlumbaan MSF Supermoto melibatkan saingan empat kategori iaitu Rookie, Advanced, All Stars Legend dan All Stars Pro.

Kesemua perlumbaan ini akan disiarkan secara langsung di laman MSF Series serta Facebook MotoMSF bermula dengan sesi kelayakan pada jam 11.30 pagi.

Sementara itum orang ramai yang berminat untuk hadir ke Litar Tangkak, hanya 300 penonton sahaja dibenarkan dan orang ramai perlu membuat ujian kendiri Covid-19 24jam sebelum hadir.

Pada masa sama, kehadiran adalah untuk mereka yang lengkap vaksin sahaja.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]