Buka Pintu Kereta Di Tengah Jalan, Dua Wanita Kemalangan

Sejak kecil, kita sering diajar untuk melihat kiri dan kanan jalan sebelum melintas apatah lagi ketika keluar dari kenderaan.

Nampaknya ada individu yang terlupa nasihat tersebut menyebabkan dia tanpa segan-silu membuka pintu dalam keadaan trafik yang sibuk sehingga menyebabkan kemalangan kecil.

Menurut video yang kini berlegar di media sosial, insiden ini dikatakan berlaku pada 6 Februari 2022 di sebuah jalan di Melaka.

Menerusi rakaman video tersebut, insiden berkenaan jelas sekali berpunca apabila penumpang hadapan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang berada di sebelah kanan Perodua Axia tiba-tiba membuka pintu keretanya secara mengejut.

Susulan tindakan cuai penumpang Vios itu, sebuah motosikal yang dinaiki dua wanita terpaksa mengelak sebelum gagal dikawal dan akhirnya merempuh bahagian kanan Axia.

Walaupun impak dari perlanggaran tersebut tidaklah terlalu kuat, kedua-dua wanita berkenaan nyaris tersungkur malah kotak yang dipegang si pembonceng turut terjatuh dan bertaburan di atas jalan raya.

Menerusi ruangan komen di media sosial, rata-rata netizen berpendapat penumpang Vios tersebut cuai malah tidak menggunakan cermin sisi kenderaan sebelum membuka pintu sehingga membahayakan nyawa orang lain.

Malah ramai yang mengarahkan penunggang motosikal dan pemandu Axia terbabit untuk menuntut insurans ke atas Vios tersebut.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]