Yamaha Sahkan Toprak Razgatlioglu Uji Jentera M1 Tahun Ini, Ke MotoGP 2023

Yamaha akan menunaikan peluang buat juara dunia WorldSBK 2021, Toprak Razgatlioglu menguji jentera ‘factory’ M1 pada pertengahan tahun ini

Usaha itu adalah bagi memastikan pelumba Turki itu akan berhijrah ke Kejuaraan Dunia MotoGP bersama Yamaha lebih awal pada 2023.

“Rancangan awal adalah membenarkan dia (Razgatlioglu) menguji jentera M1 pada hujung musim lalu namun pertukaran tarikh pusingan akhir WorldSBK membantutkan idea itu,” kata pengurus pasukan Monster Energy Yamaha, Massimo Meregalli.

Bagaimanapun, Meregalli mengesahkan akan mencari kekosongna antara kalendar MotoGP dan WorldSBK agar pelumba itu dapat menguji jentera M1 seperti yang dirancang sebelum ini.

“Kami telah pun tetapkan jadual dan ada dua kemungkinan, satu sesi pada Jun dan satu pada Ogos.

“Sebaik sahaja semua pihak bersedia, kami akan membuat keputusan bersama,” tambahnya.

Pelumba berusia 25 tahun itu mencuri tumpuan apabila berjaya menamatkan dominasi enam kali juara dunia WorldSBK Jonathan Rea dengan muncul juara musim lalu.

Kejayaan Razgatlioglu juga menamatkan penantian 12 tahun Yamaha di pentas WorldSBK selepas kali terakhir dicapai Ben Spice pada 2009.

Sementara itu, perancangan Yamaha juga seakan menimbulkan pelbagai persoalan, kerusi siapa yang bakal diambil alih Razgatlioglu di pasukan factory Yamaha MotoGP musim 2023 nanti?

Ketika ini, Yamaha bakal membuka tirai musim 2022 dengan mempertaruhkan Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli.

Quartararo sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Repsol Honda menggantikan Pol Espargaro sementara status Morbidelli hanya akan ditentukan berdasarkan prestasi musim ini.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]