Ford Bangunkan Transmisi Manual Tanpa Klac

Transmisi automatik sememangnya menjadi pilihan pengguna kini kerana dilihat lebih praktikal dan efisien berbanding transmisi manual.

Namun, masih ada pengeluar yang cuba untuk meyakinkan pengguna dengan inovasi tersendiri terhadap transmisi manual dengan tiga pedal itu.

Pengenalan transmisi manual tanpa penggunaan pedal klac adalah inovasi yang digunapakai oleh jenama seperti Hyundai dan Kia.

Ford juga dilaporkan turut mendaftarkan paten transmisi yang sama berdasarkan informasi yang dipetik daripada laman Muscle Car and Trucks.

Memetik laporan di laman tersebut, paten transmisi manual ini telah didaftarkan pada Disember 2018 di pejabat United States Patent and Trademark Office (USPTO), sebelum dokumen tersebut telah diterbitkan secara rasmi pada bulan November lalu.

Sistem transmisi manual terbaharu Ford ini hadir dengan modul kawalan yang direka untuk mengaktifkan operasi klac secara automatik dan membolehkan pemandu menukar gear pada tombol gear sahaja.

Sistem ini bertindak untuk melepaskan cengkaman klac setelah ‘sensor’ pada tombol gear mengesan kehadiran tangan pemandu yang sedang menukar gear dan selepas pertukaran gear selesai, klac tersebut akan disambungkan semula.

Melalui sistem klac elektrik ini, kereta secara asasnya tidak lagi memerlukan bantuan pedal klac.

Akan tetapi, Ford menegaskan kereta masih lagi memerlukan pedal tersebut dan ianya sekadar disambungkan kepada modul kawalan sahaja berbanding sistem terdahulu.

Selain itu, dokumen paten tersebut turut menyenaraikan pilihan lain seperti sistem kadar operasi klac yang ditentukan melalui kadar tekanan pegangan tangan pada tombol gear.
 

Ford mahu menjadikan pemanduan kenderaan transmisi manual lebih menyeronokkan melalui pengenalan sistem ini.

Menurut Ford, sistem transmisi manual baharu ini boleh digunakan untuk kenderaan RWD seperti Ford Mustang, atau kenderaan AWD seperti Ford Bronco.

Buat masa ini, tidak ada sebarang pendedahan daripada Ford tentang bilakah sistem transmisi manual baharu ini akan muncul di pasaran.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply