MV Agusta Terima 15,000 Pra-Tempahan Bagi Lucky Explorer 9.5 Dan 5.5

Meskipun belum lagi dipasarkan namun MV Agusta telah menerima lebih 15,000 pra-tempahan bagi dua model ADV akan datang, Lucky Explorer 9.5 dan Lucky Explorer 5.5.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif, Timur Sardarov dalam satu temu bual bersama media antarabangsa.

“Kami telah terima lebih 15,000 pra-tempahan setakat ini. Bukan setakat Lucky Explorer sahaja, terdapat juga peningkatan permintaan bagi model lain kami.

“Pada pendapat saya, sebaik sahaja kekangan pandemik berjaya diatasi, kami dapat meningkatkan jumlah pengeluaran bagi mencapai permintaan,” jelas Sardarov.

Lucky Explorer 9.5 dan Lucky Explorer 5.5 dipertontonkan kepada umum julung kalinya di EICMA tahun lalu dan bingkas mencuri perhatian sebagai model ADV sulung syarikat itu dibawah kendalian Sardarov.

Lucky Explorer Project juga mengembalikan kegemilangan jentera Cagiva pada suatu ketika dulu dengan kedua-dua varian, 9.5 dan 5.5 mengikut DNA sama.

Meskipun varian 9.5 dibangunkan sepenuhnya MV Agusta, model 5.5 pula dibangunkan hasil kerjasama dengan pengeluar motosikal China, Qianjiang Motorcycles yang juga pemegang syarikat motosikal Itali, Benelli.

Menariknya, Lucky Explorer 5.5 bakal berkongsi platform sama dengan Benelli TRK 502 seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Buat masa ini, masih tiada tarikh rasmi bila kedua-dua model ini akan dilancarkan namun dijangka perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]